KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 individu di Parlimen Batu menerima sumbangan barangan basah daripada Parti Perikatan India Muslim Nasional atau IMAN dalam usaha meringankan beban yang dialami sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini.
Ketua Penerangan Iman, Arabath Ali Arul Alavudeen berkata, barang basah yang melibatkan ikan dan sayuran itu mampu bertahan antara tiga ke empat hari untuk dijadikan menu harian.
Jelas beliau, sekurang-kurangnya bantuan itu dapat mengurangkan emosi mereka yang berdepan masalah kewangan bagi tempoh tersebut.
“Bermula Ramadan lalu, IMAN tetap meneruskan aktiviti-aktiviti kebajikan dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira agama dan kaum.
“Apatah lagi, ketika pandemik ini dan pelaksanaan PKP penuh ini, pasti ada golongan yang terdesak dalam meneruskan kelangsungan hidup.
“Lebih menyedihkan, sampai ada yang membunuh diri selepas berada dalam tekanan ketika pandemik ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Bantuan Barang Basah Warga Parlimen Batu anjuran IMAN bersama Zarlith Event & Management Sdn. Bhd. (Zarlith) di Laman Pengantin Zarlith di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Zarlith, Zarinah Mohideen.
Mengulas lanjut, Arabath Ali berkata, program itu dilaksanakan mengikut pelaksanaan standard prosedur operasi (SOP) yang tetap kerajaan walaupun ia merupakan program kebajikan.
Jelas beliau, program selama dua hari yang bermula hari ini hanya menerima individu dalam jumlah terhad untuk menerima barang basah manakala proses agihan lebih kepada konsep turun padang dengan pergi rumah ke rumah.
“Walaupun kita ingin membantu mereka dalam keadaan susah, SOP perlu dijaga dengan ketat agar tiada penularan virus berlaku.
“Seperti program pada Ramadan lalu, IMAN berjaya mengagihkan lebih 7,500 pek makanan untuk berbuka puasa telah diagihkan kepada warga emas, keluarga kurang berkemampuan dan golongan gelandangan di sekitar ibu kota dan bandar di sekitar Selangor,” katanya.
Mengulas lanjut, Arabath Ali memberitahu, IMAN bersyukur kerana ramai golongan dermawan yang sudi menaja barangan dan wang tunai dalam meneruskan program kebajikan mereka secara berterusan walaupun selepas Ramadan.
Sementara itu, Zarinah berkata, kolaborasi ini untuk menunjukkan rasa prihatin terhadap individu yang berdepan masalah emosi apabila berdepan masalah kewangan. – MalaysiaGazette