KUALA LUMPUR – Di sebalik ketidaktentuan aktiviti ekonomi, indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Mei 2021, masing-masing pada 0.7 peratus dan 0.9 peratus pada bulan Mei 2021.

Kenaikan nilai seunit eksport itu disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+3.1%), minyak galian (+1.3%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.2%).

Sebaliknya, indeks volum eksport menunjukkan penurunan 13.2 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-20.9%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-15.4%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-13.1%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim menyusut 12.8 peratus daripada 163.6 mata kepada 142.6 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 10.7 peratus dan 33.1 peratus, kata Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.

Indeks nilai seunit import naik 0.9 peratus pada Mei 2021 berbanding bulan sebelumnya dipacu oleh pertumbuhan indeks minyak galian (+7.1%), pelbagai urus niaga & barangan (+3.0%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.9%).

Sementara itu, indeks volum import menunjukkan trend yang berbeza dengan kejatuhan 8.6 peratus pada Mei 2021 berbanding bulan sebelum.

Kejatuhan indeks volum import disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-34.4%), barang-barang keluaran kilang (-4.4%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-2.3%).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Mei 2021 susut 10.3 peratus daripada 166.1 mata kepada 149.0 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing bertumbuh 3.8 peratus dan 44.8 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia menyusut 0.2 peratus bulan ke bulan daripada 103.7 mata kepada 103.5 mata pada Mei 2021.

Berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 6.6 peratus daripada 97.1 mata pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast