JOHOR BAHRU – Polis Johor mengeluarkan sebanyak 77 kompaun berjumlah RM770,000 atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) menerusi Op Patuh yang dijalankan selama dua hari sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu hasil daripada pemeriksaan ke atas 120 buah premis yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.
“Dalam tempoh dua hari pelaksanaan Op Patuh ini juga polis Johor telah memeriksa 100 buah kilang, 14 pasar raya serta tiga terminal perkhidmatan bas di seluruh negeri ini.
“Manakala sebanyak77 kompaun telah dikeluarkan polis Johor melibatkan 48 kompaun kepada pemilik premis manakala 29 kompaun kepada pekerja,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ayob berkata, dalam operasi selama dua hari itu, sebanyak empat premis telah diarah tutup serta merta ekoran melakukan kesalahan melanggar SOP utama.
Menurut rekod, kesalahan paling banyak dilakukan adalah tidak mematuhi SOP asas dan sebanyak 42 kompaun dan langgar syarat akta kerajaan tempatan sebanyak 27 kompaun telah dikeluarkan.
Selain itu, antara kesalahan lain termasuk melebihi kapasiti 60 peratus kehadiran pekerja sebanyak lima kompaun dan salah guna surat kebenaran beroperasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebanyak tiga kompaun.
Sementara itu, beliau memberitahu, operasi yang dijalankan dalam tempoh dua hari itu melibatkan seramai 503 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perlanggaran SOP ditetapkan kerajaan boleh menghubungi bilik gerakan polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677,” jelasnya.-MalaysiaGazette