Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor menyatakan kemungkinan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum jika ia diadakan pada akhir tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan pelbagai perkara untuk mengelakkan keadaan yang tidak diingini seperti dalam pilihan raya negeri Sabah.

“Jika Parlimen dibubarkan pada tahun ini, saya rasa Selangor tidak akan ikut. Jika pembubaran berlaku pada tahun depan pula, kami perlu mempertimbangkannya,” kata Amirudin ketika menerima wawancara Sinchew Daily.

Beliau juga mengingatkan bahawa sekiranya terdapat kerajaan negeri yang tidak mengikut rentak Perikatan Nasional dalam memanggil pilihan raya, maka pilihan raya boleh berlaku setiap tahun jika pilihan raya negeri dan Persekutuan tidak serentak.

Beliau berkata, fenomena itu adalah tidak “sihat” dan kerajaan Perikatan Nasional perlu menilai perkara itu secara berhati-hati.

Walau bagaimanapun, katanya, masing-masing Pakatan Harapan (PH) dan PKR Selangor telah melakukan persiapan awal untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya.

“Kami perlu memikirkan cara berkempen yang berkesan dengan mengambil kira keadaan wabak yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah melakukan usaha proaktif untuk melawan COVID-19 dengan melakukan saringan besar-besaran di komuniti serta membeli vaksin sendiri.

“Usaha seperti ini tidak dilakukan oleh banyak kerajaan negeri lain.

“Apa yang kami lakukan bukan atas  perhitungan kepentingan politik, tetapi kami mahu membantu mengikut kemampuan yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast