Ahli Parlimen Pendang,, Datuk Awang Hashim (tengah) menyampaikan kerusi roda serta kotak makanan kepada OBS di Teluk Bahang hari ini.

BALIK PULAU – Urusan pengagihan bakul makanan bagi Parlimen Pendang diuruskan dengan kerjasama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi mengelakkan berlaku penularan wabak Covid-19.

Pasukan PKOB terdiri daripada pihak Pejabat Daerah, Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, kaedah agihan bakul makanan itu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) agar pelaksanaan itu bukan menjadi pencetus penularan Covid-19.

Awang Hashim.

“Secara kasarnya bakul makanan itu sudah mula diagihkan sejak kelmarin malah saya dahulu wang untuk pelaksanaan ini dan segala resit pembelian akan disertakan nanti.

“Bakul makanan sudah siap dibungkus itu kini ditempatkan di PKOB agar mereka boleh bantu salurkan kepada pemohon.

“Kita akan turun ikut keadaan, tidak boleh semberono kerana kita tidak mahu ia jadi punca penyebaran Covid-19. Kita sepatutnya jadi pemutus rantaian ini bukan penyebar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Penyampaian Peralatan Pemulihan dan Sumbangan Kotak Prihatin kepada Orang Berinsurans Sendiri (OBS) PERKESO George Town di Teluk Bahang hari ini.

MalaysiaGazette pada 28 Jun lalu melaporkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette