The AstraZeneca Covid-19 vaccine. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 05 MAY 2021
Kesatuan Eropah (EU) tidak mempunyai alasan untuk mendiskriminasi kemudahan mengilangkan vaksin AstraZeneca kerana ia menggunakan formulasi sama.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Eropah (EU) tidak mempunyai alasan untuk mendiskriminasi kemudahan mengilangkan vaksin AstraZeneca kerana ia menggunakan formulasi sama.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia sudah meminta pengeluar vaksin AstraZeneca-Oxford memaklumkan kepada EU berkenaan perkara tersebut.

Katanya, ia adalah susulan keputusan Agensi Perubatan Eropah (EMA) untuk tidak mengiktiraf vaksin keluaran AstraZeneca-Oxford yang dikilangkan di Korea Selatan, Thailand dan Jepun.

“Tiada alasan untuk EMA mendiskriminasikan vaksin keluaran fasiliti yang berbeza-beza. Mereka (pengeluar) juga perlu memaklumkan (kepada EU) bahawa semua fasiliti ini mengamalkan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Berikutan itu, tiada alasan untuk EU untuk mendiskriminasikan antara satu fasiliti AstraZeneca-Oxford dengan fasiliti lain. Saya sudah meminta mereka menimbulkan perkara ini kepada EU,” katanya pada sidang media mingguan secara hibrid mengenai perkembangan PICK yang turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Menurut Khairy lagi, pihaknya akan mendapatkan penjelasan terperinci daripada EU membabitkan dasar imigresen kesatuan itu berhubung pemberian vaksin keluaran fasiliti yang tidak diiktiraf oleh EMA ketika ini.

Katanya, beliau akan berbicang perkara itu dengan Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas. – MalaysiaGazette