Sebahagian pekerja asing yang melarikan diri dari kawasan PKPD Nagasari, Bukit Mertajam berjaya dikesan dengan bantuan pihak polis.

GEORGE TOWN – Pekerja asing yang melarikan diri daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Nagasari di Mukim 6, Bukit Mertajam berjaya dikesan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, mereka yang melarikan diri itu dikesan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibawa pulang semula ke kawasan PKPD.

Rozali.

“Kita juga mendapat kerjasama dengan pihak majikan selain mempunyai gambar mereka sudah balik.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut akan dibuat bagi memastikan semua mereka sudah pulang berdasarkan senarai pendaftaran yang kita peroleh,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Stadium Bandaraya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu pihaknya akan mengeluarkan surat kepada semua majikan yang terlibat untuk memastikan pekerja mereka mematuhi undang-undang ditetapkan dalam negara ini.

“Surat itu akan dikeluarkan hari ini dan dalam konteks ini bukan pekerja saja perlu mematuhi undang-undang, majikan juga perlu bertanggungjawab,” ujar beliau.

Pihak berkuasa melakukan kerja-kerja memasang kawat duri di PKPD Nagasari, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Dalam perkembangan sama, Rozali turut merakamkan ucapan terima kasih kepada PDRM khususnya Polis Pulau Pinang atas kecekapan menjejaki dan membawa pulang mereka yang melarikan diri daripada kawasan PKPD tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN 

Penduduk Taman Nagasari jangan ‘lari’ PKPD – Rozali

Pada Sabtu lalu, MalaysiaGazette melaporkan, ada segelintir penduduk serta pekerja di Taman Nagasari bertindak ‘melarikan diri’ sebaik kerajaan mengumumkan PKPD selama dua minggu di kawasan tersebut.

Susulan itu, Rozali mengeluarkan kenyataan amaran kepada mereka yang terlibat termasuk majikan untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Rozali berkata, perbuatan seperti keluar dari lokasi itu untuk tinggal di tempat lain terutamanya ketika pihak berkuasa sedang giat membuat persediaan untuk melaksanakan perintah kawalan berkenaan tidak boleh diterima dan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab sama sekali.

“Kita beri amaran keras kepada mana-mana penduduk dan majikan dalam kawasan itu supaya tidak bertindak membelakangi keselamatan awam serta menyalahi undang-undang.

“Majikan dan pekerja diarah untuk kembali ke kediaman masing-masing supaya pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) boleh melakukan saringan komuniti dengan cepat,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette