Pihak berkuasa melakukan kerja-kerja memasang kawat duri di PKPD Nagasari, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

BUKIT MERTAJAM – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengingatkan penduduk Taman Nagasari di Mukim 6 di sini agar tidak mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bakal dilaksanakan bermula tengah malam ini.

Itu amaran Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud.

Beliau berkata demikian ekoran tular beberapa keping gambar dan video menunjukkan segelintir penduduk serta majikan bertindak ‘melarikan diri’ sebaik kerajaan mengumumkan PKPD di kawasan tersebut selama dua minggu.

Datuk Rozali.

Menurut Rozali, tindakan keluar dari lokasi itu untuk tinggal di tempat lain terutamanya ketika pihak berkuasa sedang giat membuat persediaan untuk melaksanakan perintah kawalan tidak boleh diterima.

Ia dianggap sebagai tidak bertanggungjawab, katanya.

“Kita beri amaran keras kepada mana-mana penduduk dan majikan dalam kawasan itu supaya tidak bertindak membelakangi keselamatan awam serta menyalahi undang-undang.

“Majikan dan pekerja diarah untuk kembali ke kediaman masing-masing supaya pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) boleh melakukan saringan komuniti dengan cepat.

Kerja-kerja memasang kawat duri sedang dilakukan di kawasan PKPD Nagasari hari ini.

“Kita mempunyai rekod lengkap untuk menjejaki mana-mana individu yang ingkar ini menerusi satu operasi bersepadu yang akan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia Angkatan Tentera Malaysia dan KKM sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, terdapat 940 unit kediaman secara keseluruhannya di Taman Nagasari ketika ini dengan 244 daripadanya untuk kegunaan industri dan 66 untuk kegiatan perdagangan manakala 295 dan 335 unit lagi masing-masing melibatkan rumah teres dan rumah pangsa di kawasan situ. – MalaysiaGazette