Chow Kon Yeow (tengah) bersama Jagdeep (tiga dari kanan) ketika melawat lokasi saringan Covid-19 secara percuma anjuran kerajaan negeri di Stadium Bandaraya di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Kerajaan Persekutuaan akan mewajibkan tetapan saringan kendiri pada masa hadapan.

Selain itu, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, tetapan menunjukkan diri negatif daripada Covid-19 sebelum memasuki mana-mana premis juga perlu dilaksanakan.

Jelas beliau, perkara itu masih belum diputuskan ketika ini, namun pihaknya berharap persiapan itu dibuat dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Chow Kon Yeow.

“Kita harap kerajaan akan menetapkan saringan kendiri apabila kit saringan Covid-19 dijual di pasaran nanti.

“Saringan itu boleh dibuat di rumah sekali gus memudahkan seseorang itu mengambil langkah selanjutnya apabila mengetahui diri mereka positif Covid-19. Ini juga antara langkah kita membendung jangkitan daripada menular,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Kon Yeow meninjau hari pertama pelaksanaan Program Saring Covid-19 (PSC-19) secara percuma di Stadium Bandaraya.

Kira-kira 600 individu membabitkan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Pinang, Padang Kota, Datok Keramat, Pulau Tikus, Batu Lanchang dan Pengkalan Kota disaring hari ini.

Kon Yeow (kiri) bersama Jagdeep ketika meninjau lokasi saringan bersasar kepada penduduk Pulau Pinang di Stadium Bandaraya di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow menegaskan, PSC-19 dilaksanakan sebagai langkah pemerkasaan kesihatan awam dalam menangani penularan Covid-19.

Jelas beliau, program itu melibatkan keseluruhan 40 kawasan DUN dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Kata beliau, objektif saringan komuniti secara bersasar itu sejajar dengan kerajaan negeri untuk menurukan kes jangkitan dalam komuniti.

“Ini penting bagi mencapai nilai ambang untuk setiap negeri beralih ke fasa berikutnya.

“Bagi Pulau Pinang kes purata dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan mengikut populasi kita adalah 217.

“Sekiranya kes melonjak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menurunkan ke fasa sebelum ini walaupun kita sudah beralih ke fasa lain. Sebagai contoh, jika kita berada di fasa ketiga kita akan diturunkan semula fasa dua,” kata Kon Yeow.

Sementara itu, Jagdeep menegaskan, kerajaan negeri mensasarkan 40,000 penduduk negeri Pulau Pinang akan di saring menerusi PSC-19 yang dilakukan secara dua fasa.

Jagdeep.

“Kita buka pendaftaran pada Rabu lalu dan setakat ini hari ini sudah hampir 8,000 individu sudah mendaftar untuk melakukan saringan percuma ini.

“Kesinambungan program PSC-19 ini adalah pada 10 dan 11 Julai ini melibatkan penduduk di Seberang Perai iaitu di kawasan DUN Perai, Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

“Kita jangkakan lebih ramai lagi akan tampil membuat pendaftaran selain kita berharap saringan terhadap 40,000 individu yang disasarkan itu dapat dilakukan dalam tempoh 40 hari,” kata Jagdeep. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast