Mohd Afiq Mohd Noor (tiga kiri) dan keluarga beraya bersama jiran-jirannya di hadapan rumah masing-masing bagi mengikut arahan MKN yang melarang aktiviti ziarah semasa Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah kawalan Pergerakan 3.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Perumahan Awam Sri Pulau Pinang, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MEI 2021.

JIRAN tetangga adalah orang yang tinggal berdekatan dengan kediaman kita. Boleh jadi, jiran itu dalam konteks kawasan sekampung, sama taman perumahan atau menghuni bangunan pangsapuri yang sama. Kalau komuniti kejiranan di kampung, sangat mudah untuk menemukan keadaan di mana hampir segenap penduduk saling kenal-mengenali bukan sahaja namanya bahkan latar belakangnya. Aktiviti kejiranan dibugarkan dan penyertaan setiap ahli kejiranan sangat baik.

Berbeza pula bagi sesetengah kita yang hidup di bandar dan kota metropolitan, walaupun ‘berkongsi dinding rumah’ yang sama malangnya cukup sukar untuk mengucapkan salam atau setidak-tidaknya melontar senyuman. Mungkin ini adalah kerana faktor kesibukan bekerja, atau kerana memikirkan mereka bukan orang tempatan, maka tiadalah kepentingan untuk beramah mesra dengan jiran sebelah-menyebelah. Inilah asam garam dalam hidup berjiran.

Kita mungkin pernah terdengar isu-isu berkaitan masalah hidup berjiran ini. Misalnya, halaman rumah yang menjadi pilihan kucing peliharaan jiran membuang najisnya, isu perebutan tempat meletak kenderaan sehingga bergaduh dan berparang, bahkan isu jiran yang didapati telah meninggal di rumahnya tanpa disedari oleh jiran sebelah-menyebelah. Ini adalah kerana kita mungkin tidak mengendahkan keperluan menghidupkan semangat kejiranan dan suka bersikap individualistik.

Pepatah Melayu ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk peri pentingnya hidup sekumpulan manusia yang bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur sesama manusia. Nilai muafakat itu pula lebih signifikan maksudnya dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, namun perkongsian nilai-nilai hidup yang harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormati, dan menghargai hak-hak sesama jiran tetangga, tidak kira usia, jantina, pangkat, keturunan dan agama.

Keharmonian hidup berjiran merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan dalam syariat Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 36, maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Dalam Islam, jiran terbahagi kepada tiga jenis iaitu jiran tiga hak, jiran dua hak dan jiran satu hak. Rasulullah SAW menyebut dalam satu hadis iaitu jiran tetangga itu terbahagi kepada tiga kategori. Pertama, jiran Muslim yang ada hubungan keluarga baginya, maka dia mendapat hak sebagai jiran, hak sebagai orang muslim dan sebagai keluarga atau kerabat. Kedua, jiran Muslim, baginya mendapat hak sebagai jiran, dan hak sebagai seorang Islam. Ketiganya pula, jiran kafir, maka baginya mendapat hak sebagai jiran. Perbezaan hak-hak ini perlu jelas kepada kita lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Diskriminasi dan sikap memilih bulu dalam perhubungan dengan jiran sangat-sangat ditegah dalam Islam dan seharusnya perbezaan latar belakang sebenarnya perlu dijadikan sumber kekuatan dalam membentuk hubungan yang baik sesama jiran tetangga. Sesiapa yang berbuat baik sesama jiran, telah disebut oleh Rasulullah SAW dalam salah satu hadisnya yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” (Riwayat Al-Bukhari).

Jiran mempunyai hak-hak tertentu yang perlu dihormati dan ianya dinyatakan secara jelas dalam Islam. Misalnya, apabila jiran bermasalah dan meminta sebarang bantuan, kita bertanggungawab untuk membantu mereka. Jika mereka bersedih atau sakit, kita bertanggungjawab untuk menghulurkan simpati atau menziarahi mereka. Jika ada jiran yang meninggal dunia, tanggungjawab kita juga untuk membantu keluarganya menguruskan jenazah. Jika jiran mendapat sesuatu kejayaan atau kebaikan, sekurang-kurangnya ucapkanlah tahniah kepada mereka.

Kita juga dilarang untuk menyakiti jiran baik dari segi fizikal mahu pun emosi. Kita hendaklah sentiasa sabar dengan karenah atau gangguan jiran, kerana ia termasuk dalam golongan orang berbuat baik kepadanya. Dalam satu Sirah Nabawiyyah, telah datang seorang laki-laki kepada Rasulullah SAW menyatakan: “Ya Rasulullah, tunjukan aku pada amal yang mana jika aku mengerjakannya,  akan dapat memasukkan aku ke dalam syurga”. Nabi menjawab:” Jadilah kamu sebagai orang yang baik”. Orang itu bertanya:” Ya Rasulullah, bagimana aku mengetahui bahawa aku ini seorang yang baik?. Maka Nabi menjawab:”Tanyakanlah pada tetanggamu, maka jika mereka mengatakan enkau baik maka engkau sebenarnya adalah baik, maka jika mereka mengatakan engkau jahat, maka engkau adalah jahat” ( hadis riwayat al-Baihaqi). Inilah antara hak jiran yang bukannya sukar untuk kita laksanakan, namun ada kalanya kita terlepas pandang dan tidak sedar bahawa kita kelihatan berjauhan dengan jiran walau pun tinggal berdekatan.

Banyak cara untuk membugarkan semangat kejiranan. Pertamanya, semangat kejiranan ini perlu dipupuk sebaiknya dalam kalangan anak-anak yang masih kecil lagi. Pada usia inilah anak-anak mudah menyerap sebarang pendidikan yang diberi dan menerapkannya dalam kehidupan seharian, ibarat buluh yang dilentur dengan mudah dari rebungnya. Anak-anak perlu dididik peri pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana-mana perkara yang silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman.

Seterusnya, dengan menubuhkan Jawatankuasa Persatuan Penduduk, semangat kejiranan dapat digemburkan dengan baik. Ia adalah melalui pelantikan ahli kejiranan tertentu yang akan menyelaraskan dan menganjurkan program-program tertentu secara berkala. Misalnya, program keagamaan, kebudayaan, sambutan perayaan, sukan dan rekreasi, kebajikan dan keselamatan. Jawatankuasa ini akan menjaga kemaslahatan penduduk secara sistematik dan berkesan.

Berkenaan dengan keselamatan, kebanyakan kawasan kejiranan pada masa sekarang mengambil inisiatif mengupah pengawal keselamatan di kawasan mereka. Ini adalah inisiatif yang berkesan dalam mencegah jenayah seperti pecah rumah, kecurian dan sebagainya. Pun begitu, usaha keselamatan sebegini memerlukan komitmen penduduk untuk membayar sedikit kos perkhidmatan keselamatan yang ada kalanya kelihatan membebankan bagi sesetengah kita. Di sinilah akan terserlah sama ada kita ini bersungguh-sungguh atau pun tidak dalam memberikan sumbangan sebaiknya kepada keperluan jiran-jiran dan adakah kita berlaku adil kepada mereka.

Pembinaan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram dengan amalan berjiran yang baik seharusnya diperkasakan. Jangan biarkan kepentingan diri menenggelamkan hubungan dengan jiran tetangga. Ada masanya kelak, sikap suka menjadi ‘kera sumbang’ dalam hal berjiran akan memakan diri sendiri hingga mungkin tiada seorang pun jiran yang sudi untuk menghulurkan tangan kerana telah lama menganggap kita ini tidak wujud pun dalam kalangan mereka.

Dr Khairunneezam Mohd Noor 
Pensyarah Penyelaras, 
Program Pengurusan Dengan Pelancongan,  
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,  
Universiti Sains Islam Malaysia. 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast