JOHOR BAHRU – Biar pun statusnya Orang Kelainan Upaya (OKU) namun tidak menghalang seorang usahawan muda memiliki kedai kek dan roti sendiri.
Premis Kak Ngah Bakery & Kek milik Azuren Husin, 29, terletak di Sri Stulang, Permas Jaya di sini sejak sebulan lalu.
Lebih mesra disapa sebagai Awin, wanita cacat pendengaran dan pertuturan itu memberitahu, nama kedainya tercetus daripada kedudukannya dalam keluarga sebagai anak kedua daripada lapan adik beradik.
Awin yang ditemui Malaysia Gazette dan dibantu rakannya, Aliah Sakinah Bani Amin, 30, yang juga pintar berbahasa isyarat memberitahu, punca utama Awin mula berminat membuka kedai roti apabila dia pernah bekerja sebagai pembantu jualan di kedai roti dekat Skudai sejak empat tahun lalu.
Kini kedai milik rakannya itu turut menggajikan pekerja OKU kategori pekak dan bisu seramai empat orang.
Jelas Aliah, walaupun Awin mengakui mengalami kesukaran dari segi pertuturan dengan pelanggan namun masalah itu tidak mematahkan semangat bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Vokasional Indahpura itu apabila turut menggajikan Aliah sebagai pembantu di premisnya.
Niat Awin juga ingin membantu golongan OKU sepertinya mempunyai peluang pekerjaan sama seperti insan normal yang lain.
Bagi Awin, golongan OKU juga boleh berjaya sekiranya mereka mempunyai usaha dan tidak mudah patah semangat.
“Saya berminat untuk buka perniagaan, itu memang impian saya.
Impian memang nak buka cawangan satu Johor dan Malaysia dan juga boleh membantu OKU pendengaran dan dapat membantu rakan-rakan dia.
“Semua OKU berkerusi roda tangan tiada pekak semua boleh berjaya dengan impian yang kuat,” katanya ketika ditemui di kedainya hari ini.
Sementara itu, Aliah yang merupakan satu-satunya pekerja normal di situ memberitahu, dia mula mengenali Awin ketika sama-sama menyertai kelas pertuturan bahasa isyarat di negeri itu pada tahun lalu.
Aliah menyertai kelas berkenaan kerana adiknya juga salah seorang yang cacat pendengaran.
Katanya, ketika mengetahui rakannya itu membuka premis perusahaan roti, dia menawarkan diri untuk membantu Awin mengusahakan kedai tersebut bagi memudahkan komunikasi dengan pelanggan memandangkan kesemua pekerja yang diambil merupakan OKU .
Dia yang bekerja di kaunter hadapan sebagai juruwang memberitahu, pelbagai ragam pelanggan terpaksa dihadapi mereka termasuk ada antaranya yang keluar semula dari kedai setelah mengetahui majoriti pekerja di situ dalam kalangan mereka yang OKU.
“Bila pelanggan datang dia tahu kurang pendengaran dia akan balik kadang ada yang meninggikan suara tetapi kita akan cuba mengatasinya,” kata Alia.
Menurut Aliah, Kak Ngah Bakery & Kek mempunyai keistimewaannya tersendiri apabila ia diusahakan dan dibantu oleh belia OKU.
Kelebihan itu juga, katanya, menjadikan sebahagian pelanggan mulai belajar bahasa isyarat.
“Kadang saya ajar pelanggan cakap terima kasih atau sama-sama saya ajar supaya dapat membantu serba sedikit orang bahasa isyarat,” katanya.
Selain itu kata Aliah, Kak Ngah Bakery & Kek juga bekerjasama dengan empat lagi penghantar makanan yang melibatkan individu pekak dan bisu.
“Macam saya katakan tadi, Awin kalau boleh dia nak lihat rakan-rakan senasib dia ada peluang pekerjaan. Sebab kita tahu golongan seperti ini sukar untuk memperoleh pekerjaan, jadi bila ada runner atau rider OKU dalam masa sama beri ruang pekerjaan untuk mereka dan memudahkan komunikasi sesama mereka juga,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, pada tahun 2019 sahaja kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM12.82 juta kepada aeramai 26,401 penerima terdiri daripada OKU.
Bantuan itu melibatkan beberapa keperluan termasuk Bantuan OKU tidak bekerja dan Elaun Pekerja Cacat.
Sementara itu, untuk tahun ini, katanya, seramai 976 OKU telah berdaftar dibawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
“Di bawah YPKDT ini pelbagai manfaat mereka terima termasuklah latihan contohnya latihan pembuatan roti untuk menambah pendapatan mereka.
“Selain itu kami juga turut memberikan peralatan tertentu bersesuaian dengan keinginan yang mereka ingin usahakan. Jadi pada saya YPKDT hanya menjalankan latihan dengan peruntukan RM3,000 tetapi Awin telah beberapa kali terima bantuan sebab kita lihat potensi dia.
“Saya harapkan supaya ramai lagi OKU ikut jejak Awin untuk berdikari kerana kita tidak mahu oku dijadikan sebagai golongan yang meminta-minta,” kata Zaiton.-MalaysiaGazette