Kelihatan pengunjung melintasi beberapa premis yang ditutup selepas kehadiran pengunjung berkurang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Halal Street UK (HST), platform eDagang Malaysia rentas sempadan, menggesa pihak-pihak berwajib mempergiatkan lagi usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada digitalisasi bagi menjamin kelangsungan perniagaan.

Menurut kaji selidik yang dibuat oleh Persatuan PKS Malaysia, sekurang-kurangnya 50,000 perusahaan berdepan dengan risiko gulung tikar sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dilanjutkan sehingga enam minggu, manakala kira-kira 100,000 perniagaan telah menamatkan operasi mereka sejak pelaksanaan PKP yang pertama.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Street UK, Simon Suresh berkata, angka ini amat menggusarkan memandangkan PKS merupakan tunjang ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

”Tidak dinafikan terdapat peningkatan dalam jumlah penyertaan usahawan PKS dalam platform eDagang namun ianya perlu dipertingkatkan lagi kerana masih terdapat kelompok usahawan yang tercicir.

”Pengadaptasian ekonomi digital bukan sahaja mampu memulihkan pendapatan usahawan dan meningkatkan produktiviti tetapi turut membantu dalam memperluaskan çapaian pasaran mereka,” menurutnya.

Dengan transformasi pendigitalan, usahawan dapat meneroka pasaran baharu di dalam dan luar negara dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran setempat sahaja.

PKP 3.0 perlu dilaksanakan bagi memutuskan rantaian pandemik namun satu mekanisma khas perlu dirangka dalam membantu usahawan terutama yang tinggal di kawasan pedalaman yang mana çapaian dan pengetahuan mengenai internet terhad, ujar Simon.

Prihatin dengan nasib yang dihadapi usahawan, Halal Street UK mengadakan sesi perkongsian pada pukul 5 petang setiap harı di laman rasmi Instagram syarikat bagi mengupas topik-topik yang berkaitan dengan keusahawanan dalam membantu usahawan memulihkan perniagaan di samping meningkatkan
jualan mereka menerusi pendigitalan. – MalaysiaGazette