KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Halim kini bingung apabila ada VIP berstatus duda ingin melamarnya menjadi isteri walaupun pernah tiga kali gagal dalam perkahwinan,
Tidak terlintas untuk berkahwin dalam masa terdekat selain serik dengan apa yang pernah dilalui, Fiza atau nama sebenar, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim mengakui tergamam dengan lamaran berkenaan diterimanya baru baru ini.
“Jujur saya masih berkira kira dalam hal mencari pengganti apatah lagi berkahwin lagi. Saya kena berfikir panjang dalam hal membabitkan masa depan.
“Siapa yang tak serik berkahwin dan kemudian berpisah. Tiga kali saya lalui benda yang tak semua sanggup terima.
“Saya bimbang salah percaturan, takkan nak ulang lalui fasa sama. Berkahwin, ada anak dan kemudian jadi janda balik. Minta simpang hal itu terjadi lagi. Nanti kalau jadi benda sama, saya juga kena kecam biarpun hal cerai itu di luar kawalan diri,” katanya
Menurut, ibu kepada cahaya mata ini, lelaki VIP yang dikenalinya itu berusia sekitar 50 tahun selain mempunyai rangkaian perniagaan sendiri.
“Umur saya bulan Ogos depan menginjak 40 tahun. Bukan masa untuk saya main main lagi termasuk dalam hal cinta. Saya bukan muda lagi. Semestinya dengan apa yang dunia lalui sekarang di era pandemik COVID-19 semua bergelut.
“Saya juga terkesan. Ada kawan cakap lebih baik kahwin dengan lelaki berusia dan stabil kehidupan, demi masa depan yang baik.
“Dalam konteks ini bukan soal materialistik atau mata duitan, tapi lebih realistik. Jadi istilah pisau cukur itu tidak sesuai digunakan atau perlu dilihat dalam skop yang lebih jauh. Tak semestinya cari lelaki berada sebab nak kikis duit,” katanya.
Dalam pada itu, Fiza mengakui ketika ini dia juga menambah sumber pendapatan dengan membuat ulasan berbayar untuk pelbagai jenama produk di Instagram.
“Dalam masa sama saya juga mencari lubang untuk menambah pendapatan. Mana tahu ada rezeki sebagai duta produk.
“Kalau berlakon, saya tak terfikir lagi. Dengan situasi semasa termasuk Perintah Kawalan Pergerakan bersambung, kerja berlakon pun tersekat,” katanya.
Fiza kini beruntung kerana bekas suami pertama, Ahmed Farriq Zainul Abidin sentiasa memberi perhatian terutama kepada dua anak mereka, Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.
Fiza dan Ahmed Farriq bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.
Perkahwinan kedua Fiza dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia (AF), Adam, pada September 2013, juga tidak kekal.
Seterusnya, jodoh dengan juruterbang berstatus duda dua anak, iaitu Aizat Al Jefri, turut tidak berpanjangan. Mereka berkahwin pada Disember 2016.
Melalui perkahwinan itu, Fiza dan Aizat dikurniakan cahaya mata, Baby Aleena yang berusia hampir tiga tahun. – MalaysiaGazette