KUALA LUMPUR- UMNO diasaskan demi kepentingan lain kecuali memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, memuliakan Islam, memelihara kehormatan institusi raja dan membangunkan negara.
Pendirian ini akan terus menjadi pendirian UMNO, tegas Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting kerana tanpa pendirian, UMNO jadi hanya sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.
Justeru dalam keadaan negara yang sangat meleset, katanya, UMNO wajar tampil dengan sebuah pendirian.
Beliau berkata, membiarkan negara terus dalam keadaan meleset, seolah-olah UMNO merestuinya.
Sedangkan, pendirian UMNO mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.
”Bila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan memburuk, kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak, kelaparan telah menjadi nyata, bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan, demokrasi diselewengkan, malah institusi Raja di sanggah dengan tiada susila, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian dari kemelesetan ini.
”UMNO mesti senafas dengan kesusahan rakyat, bukan kuasa dan kedudukan,” jelasnya.
Mohamad berkata, fitrah UMNO adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa, maka untuk merekalah UMNO harus bersuara dan berjuang.
”Kepada semua ahli UMNO, walau dipelosok desa dan perbatasan nan terpencil atau di pulau paling jauh, mahupun di kota dan bandar seluruh negara, yakinlah, pendirian kepimpinan UMNO tidak akan tergelincir dari keutamaan rakyat, negara dan parti.
”Ia pasti selari dengan keputusan perwakilan perhimpunan agung,” tambahnya lagi.
Malah, tiada individu lebih besar daripada UMNO dant tiada tokoh lebih penting daripada parti dan rakyat.
Juga tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat dan tiada perjuangan lebih bererti dari perjuangan untuk rakyat yang marhaen dan yang terjejas.
”Insya Allah, UMNO telah ada sebuah pendirian dan jalan kehadapan. Semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanahair dan parti kita UMNO,” ujar beliau. – MalaysiaGazette