Sebanyak 30 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu terutama melibatkan tempat kerja.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 lagi kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan kluster tempat kerja masih menyumbang angka tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 21 kluster melibatkan tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga penularan di pusat tahanan manakala satu masing-masing kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan lain.

Kluster tempat kerja yang direkodkan adalah enam di Johor dan Selangor, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (tiga), Melaka dan Perak masing-masing dua.

Negeri Sembilan dan Sarawak masing-masing satu kluster baharu di tempat kerja.

Menurut Noor Hisham, tiga kluster komuniti di Kelantan dikesan manakala satu di Sabah.

Dalam pada itu Noor Hisham memaklumkan, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.09 dengan WP Putrajaya mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu 1.28.

Manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Perak (RT 1.18), WP Kuala Lumpur (RT 1.16), Selangor (nilai RT 1.14), Pahang (nilai RT 1.10), Kedah (nilai RT 1.08), Sabah (nilai RT 1.07) dan Pulau Pinang (1.07).

Bagi Melaka pula nilai RT adalah 1.06, Terengganu (RT 1.04), dan Negeri Sembilan (RT 1.02). – MalaysiaGazette