KUALA LUMPUR – Seorang banduan lelaki warga asing yang disahkan positif Covid-19 telah melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Kajang dekat sini hari ini.
Sumber memberitahu, banduan berusia lingkungan 40-an itu menerima rawatan di hospital selama kira-kira seminggu lalu selepas dia disaring dan disahkan positif jangkitan Covid-19.
“Banduan itu dikatakan membuka gari yang dipasang pada katil wad rawatan Covid-19 sebelum dipercayai melarikan diri melalui tingkap hospital berkenaan kira-kira jam 4 pagi tadi.
“Usaha mengesan dan menangkap banduan berkenaan sedang dipergiatkan oleh pasukan kami,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian tersebut.
“Ada laporan polis diterima (berhubung kejadian itu) dan (kes) sedang disiasat,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut mengenainya.-MalaysiaGazette