Datuk Mohd Nadzuaan Nasir

JOHOR BAHRU – Gabungan Pengusaha dan Pemilik Restoran Johor merayu kerajaan negeri supaya mempertimbangkan aktiviti makan di kedai atau dine-in bagi membantu para peniaga untuk terus bertahan dalam perniagaan mereka.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nadzuaan Nasir yang mewakili suara ahli-ahlinya mencadangkan kerajaan membenarkan 50 peratus pengoperasian dine-in atau makan di dalam kedai setiap restoran agar dapat dilakukan.

Jelasnya, sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke hari ini, kira-kira 80 hingga 85 peratus pemilik restoran di Johor mengalami kerugian.

Lebih mengecewakan, lebih 30 peratus pengusaha makanan berada dalam zon merah atau kritikal terjejas sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

Dengan kelonggaran itu, beliau berkata, ia mampu memberi semangat kepada lebih 30 ahli-ahlinya meneruskan aktiviti perniagaan makanan mereka,tanpa mengharap bantuan kerajaan semata-mata.

“Kita bukan mahu untuk dapat income banyak, buka kedai hasil banyak tetapi cukuplah kita dapat hasil saving kita semula dan cukuplah sekadar untuk kami survive dan cukuplah sekadar kami mampu bayar sewa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai keluhan ahli pemilik restoren dan penyerahan surat rayuan kepada Menteri Besar Johor di Almizan Satay House, Kampung Ubi, Tampoi di sini hari ini.

Jelas Mohd Nadzuaan, rayuan telah disampaikan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamed semalam.

Nadzuaan berharap, kerajaan negeri dapat menunaikan permintaan itu tanpa menunggu Fasa 2 PPN di Johor.

Sementara itu,bagi peniaga burger, Khairul Farid Mazlan, kerajaan bukan sahaja harus menumpukan masalah Covid-19 malah perlu memikirkan cara terbaik untuk membantu menstabilkan ekonomi dan masalah peniaga.

“Jika dilihat pada angka Covid-19, Johor antara yang mencatatkan bilangan terendah berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Khairul Farid berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan peniaga termasuk melakukan startegi pemasaran bagi menarik pelanggan namun ia masih belum dapat membantu sebahagian pemilik restoran sepertinya.

“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan apa yang kami mahukan supaya ekonomi lebih stabil, kami juga bersyukur dengan bantuan yang diberikan tetapi kami lebih mengharapkan dine-in boleh dibuka supaya kami dapat menjana ekonomi dengan lebih baik berbanding hanya menunggu bantuan yang diberikan.

“Kami meminta 50 peratus daripada kapasiti setiap kedai untuk dine-in dan itu insya-Allah membantu meningkatkan hasil jualan walaupun hanya 50 peratus kita hanya akan buka secara berkala bergantung pada kes Covid-19 sedia ada sekarang.

“Kami akan ikut SOP, kita bersama SOP ini lama dan kami telah terbiasa dengan SOP dan kami boleh menerima SOP lebih ketat hanya untuk kita dapat menerima dan dapat bekerja,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast