KUALA LUMPUR – Khasiat air kelapa untuk tubuh badan manusia tidak boleh dinafikan. Buat mereka yang masih mencari-cari penawar kesihatan, air kelapa adalah yang terbaik. Namun begitu, ia perlu diminum secara konsisten dan tidak berlebihan.
Minuman ini bukan sahaja sedap bahkan juga rendah kalori, rendah lemak, penuh dengan vitamin dan mineral penting untuk kesejahteraan tubuh badan.
Pada masa sama, selain berfungsi sebagai hidrasi secara semula jadi, pengambilan air kelapa juga boleh meningkatkan sistem imun badan sekali gus mengurangkan risiko individu untuk dijangkiti Covid-19 ketika ini.
Menyedari manfaat itu, Kalbe Malaysia Sdn. Bhd. (Kalbe), syarikat pengeluar minuman air kelapa jenama Hydro Coco melakukan program tanggungjawab sosial korporat di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sejak 10 hari lalu.
Ketua Kawasan, Bahagian Pengguna dan Minumannya, Rashid Ibrahim berkata, sebanyak 1,200 pek minuman itu disediakan secara percuma kepada penerima vaksin dan barisan petugasan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega itu.
“Masyarakat tidak boleh menafikan khasiat air kelapa termasuk membantu menguatkan imunisasi selain produk bersumberkan vitamin C.
“Apatah lagi ketika pandemik Covid-19, kita digalakkan minum air kelapa. Jadi tujuan program CSR ini untuk membantu penerima vaksin untuk mengurangkan gejala demam sekiranya muncul selepas suntikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di MITEC di sini hari ini.
Sementara itu, MITEC mula beroperasi sebagai PPV mega sejak 31 Mei lalu.
Rashid menambah, penerima vaksin tidak perlu bimbang untuk mendapat kesan apabila minum air kelapa selepas mendapat suntikan vaksin.
Kata beliau, ini kerana pihaknya telah membuat kajian terlebih dahulu mengenai kebaikan produknya untuk diambil selepas menerima vaksin.
Beliau turut memberitahu, Hydro Coco kini berjaya mencatat jualan RM100,000 sebulan sejak berada di pasaran negara ini pada awal tahun lalu.
“Walaupun berdepan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan bersiri, produk kami mendapat sambutan hebat dengan syarikat memberi fokus promisi dan jualan di atas talian,” katanya.
Ketika ini, Kalbe merupakan syarikat pengedar Hydro Coco yang diimport dari Indonesia dan melantik Thirty Elements Sdn. Bhd. sebagai syarikat pengedar tunggal di negara ini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.hydrococo.com. – MalaysiaGazette