Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan telah memfailkan saman terhadap firma perakaunan KPMG PLT.

Saman itu dikemukakan ke atas 44 rakan kongsi KPMG PLT pada 6 Julai lalu.

Kerajaan Malaysia, Menteri Kewangan Inc, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikat 1MDB merupakan plaintif dalam tuntutan tersebut.

Jurucakap MOF berkata, tuntutan tersebut berkaitan dengan kerja-kerja audit 1MDB oleh KPMG bagi tahun 2010 hingga 2012.

Oleh kerana kes ini sudahpun difailkan di Mahkamah, MOF tidak dapat mengulas lanjut kerana akur peraturan subjudis.

Sebuah media tempatan hari ini melaporkan Kerajaan Malaysia, Kementerian Kewangannya (MoF Inc), 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan pelbagai anak syarikat telah mengemukakan saman sebanyak AS$5.64 bilion terhadap 44 rakan kongsi KPMG Malaysia semasa firma itu menjadi juruaudit 1MDB.

Dalam tuntutan itu, KPMG didakwa melanggar kontrak dan kecuaian dalam audit dan perakuan penyata kewangan 1MDB untuk tahun kewangan 31 Mac 2010, 2011 dan 2012.

KPMG dipecat sebagai juruaudit setelah enggan melepaskan akaun tahun kewangan 2013.

Selain 1MDB, Kerajaan Malaysia dan MoF Inc, turut terlibat dalam tindakan itu adalah 1MDB Energy Holdings Ltd (1MEHL), 1MDB Energy Ltd (1MEL), 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL), dan Global Diversified Investment Company Ltd, yang sebelumnya dikenali sebagai 1MDB Global Syarikat Pelaburan Ltd.

Tetuan Shearn Delamore mengemukakan penyataan tuntutan setebal 148 halaman bagi pihak mereka. – MalaysiaGazette