KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menuntut agar Perdana Menteri mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas di atas kegagalan-kegagalan kerajaan mengelolakan pandemik Covid-19.
Lantaran itu, PH meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan serta-merta.
Dalam kenyataan bersama, PH berkata, rakyat dan negara tidak harus mengalami musibah sedemikian rupa semata-mata kerana kepimpinan kerajaan dan Perdana Menteri yang gagal, apatah lagi selepas perdana menteri kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan seterusnya kehilangan keabsahan bagi memegang jawatan tertinggi tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Kata mereka, Majlis Presiden PH amat kesal dan sedih menerima laporan harian jumlah kes positif Covid-19 yang mencanak naik (8,868 semalam dan 9,180 semalam, dengan jumlah keseluruhan kes hampir 820,000) serta jumlah kematian yang kekal tinggi.
”Walaupun kerajaan telah mengusahakan pelbagai langkah termasuk Darurat bermula 11 Januari 2021, PKP 3.0 bermula 1 Jun 2021 dan pelbagai PKPD, namun ianya gagal mengurangkan jumlah kes positif dan jumlah kematian akibat Covid-19.
”Malah tatacara operasi standard (SOP) yang mengelirukan, penguatkuasaan yang lemah dan terpilih, serta kebenaran kepada kilang-kilang untuk terus beroperasi walaupun ia antara penyumbang terbesar kluster Covid-19 telah menyebabkan rantaian jangkitan gagal diputuskan,” kata mereka.
Tambah mereka, rakyat terus merana, begitu ramai yang telah mengangkat bendera putih kerana hilang pekerjaan atau pendapatan.
Bantuan kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat tidak mencukupi.
”Jika dibenarkan berterusan tanpa sebarang perubahan, apa yang diungkap rencana Bloomberg hari ini – bahawa Malaysia menjurus ke arah ‘negara gagal’ – kian menjadi realiti. Ini tidak boleh dibenarkan berlaku.
”Nyawa dan kehidupan ekonomi rakyat mesti diselamatkan,” tegas mereka. – MalaysiaGazette