JOHOR BAHRU – Beberapa penerima e-Kasih menzahirkan rasa syukur dan terima kasih mereka atas keprihatinan kerajaan negeri terutama kepada Menteri Besar Johor ,Datuk Hasni Mohamad kerana sudi menyampaikan sendiri sumbangan RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 kepada mereka.
Penerima, Zainal Mohamad Darwish, 58, tidak menyangka pemimpin nombor satu Johor itu sanggup berkunjung ke rumahnya di Kampung Bakar Batu, di sini untuk menyampaikan bantuan tersebut.
Beliau sama sekali tidak menyangka menteri besar sudi berkunjung ke rumah saya dan menyampaikan sendiri bantuan ini.
”Saya rasa sangat gembira dan bantuan ini sememangnya membawa makna besar kepada saya dan keluarga.
“Sejak saya kehilangan pekerjaan akibat kaki dipotong sejak tahun 2019, kami kehilangan punca pendapatan.
” Kami sekeluarga hanya bergantung dengan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disalurkan secara bulanan,” katanya.
Terdahulu, Hasni telah bertemu sendiri dengan enam keluarga penerima e-Kasih di daerah ini untuk menyampaikan wang tunai yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 termasuk sumbangan barangan keperluan asas.
Sementara itu, seorang lagi penerima Tee Ah Ee, 70, turut menyifatkan bantuan yang diberikan kerajaan Johor itu amat bermakna baginya dalam mendepani pandemik Covid-19.
Lebih menyentuh hatinya, apabila Menteri Besar Johor sendiri sanggup berkunjung di kediamannya untuk menyerahkan sendiri bantuan berkenaan.
”Saya tinggal seorang di rumah, faktor usia dan keadaan kita kini yang sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan saya untuk keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan,” katanya.
Selain itu, Hasni turut meluangkan masa menyampaikan bantuan kepada keluarga
penerima bantuan PRE Ihsan 3.0, Rajkumaaran a/l Muruga.
Rajkumaran, 23, menyifatkan Hasni sebagai pemimpin berhati mulia dan peka terhadap masalah rakyat Johor.
Akuinya, bantuan itu sudah pasti melegakan keluarganya disebabkan ibunya yang bekerja sebagai pembantu restoran diberhentikan kerja akibat PKP.
“Ayah merupakan orang kurang upaya (OKU) dan saya merupakan seorang pelajar. Sebelum ini, kami bergantung hidup dengan pendapatan ibu sebagai pembantu restoran, namun PKP ini dia tidak dapat bekerja.
“Dengan adanya bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor, ia sedikit sebanyak membantu kami sekeluarga menjalani tempoh yang sukar ini,” katanya.-MalaysiaGazette