KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menafikan Jabatan Perubatan Kecemasan hospital tersebut mengalami masalah ketidakcukupan pakaian perlindungan diri (PPE) seperti yang ditularkan menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp.
Pengurusan HCTM UKM menerusi satu kenyataan berkata, hospital itu masih mempunyai bekalan PPE mencukupi dan Jabatan Perubatan Kecemasan merupakan jabatan yang diberi keutamaan.
“Semakan stok di jabatan tersebut juga mendapati tiada masalah kekurangan seperti yang dimaklumkan.
“Pihak HCTM UKM ingin memaklumkan bahawa pemakaian PPE dalam kalangan petugas barisan hadapan adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Sehubungan itu, HCTM UKM menafikan ketidakcukupan PPE seperti yang didakwa,” katanya.
Terdahulu menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular menunjukkan beberapa keping gambar individu sedang terbaring di atas katil disertai mesej lebih 50 pesakit Covid-19 terkandas di Jabatan Kecemasan.
Perbualan tersebut turut mendakwa bahawa kakitangan hospital tidak memakai PPE lengkap berikutan bekalan yang tidak mencukupi selain terpaksa membeli pelitup muka jenis N95 sendiri. – MalaysiaGazette