Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan sindiket pelacuran di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sindiket pelacuran menggunakan aplikasi Michat dengan mempromosi wanita warga asing yang aktif sejak Mei lalu terbongkar apabila berjaya dihidu polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata,  pihaknya berjaya mematahkan aktiviti persundalan itu hasil operasi bersepadu, Op Noda dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama enam daerah pentadbiran polis.

Operasi dilakukan pukul 6.30 petang hingga 10 malam pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan itu, tujuh premis diserbu termasuk dua hotel bajet, tiga apartmen dan masing-masing sebuah rumah kediaman dan rumah kedai.

“Operasi berkenaan seramai 26 individu membabitkan lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga India yang bertindak sebagai penghantar dan penjaga premis.

“Selain itu, kita turut menahan 16 pekerja seks yang terdiri daripada warga Vietnam dan Thailand termasuk seorang wanita tempatan berusia 21 hingga 54 tahun.

“Modus operandi sindiket persundalan ini menggunakan Michat sebagai medium untuk berkomunikasi dengan pelanggan. Sindiket ini menjadikan rumah kedai, kediaman dan apartment sebagai lokasi aktiviti pelacuran mungkin kerana hotel tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” kata pada sidang media hari ini.

Kata Ayob Khan, siasatan mendapati, sindiket itu akan memberikan beberapa gambar pekerja seks menerusi akaun Michat untuk dipilih sebelum memberi maklumat lokasi kepada pelanggan.

“Ahli sindiket akan mengedarkan gambar wanita kepada pelanggan dan setelah pelanggan memilih, mereka akan berhubung dengan ahli sindiket dan akan diberitahu nombor bilik hotel.

“Kemudian pembayaran akan dilakukan kepada transporter yang menghantar wanita berkenaan pada harga antara RM200 hingga RM300 bergantung kepada wanita yang mereka pilih,” katanya lagi.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 37 unit telefon, 346 keping kondom, empat botol minyak pelincir, empat helai tuala, tiga tisu basah, satu gulung tisu, dua tiub KY Jelly, enam resit homestay selain empat kereta yang digunakan ‘penghantar’ pelacur selain wang tunai berjumlah RM14,511.

Melalui aktiviti pelacuran, sindiket mampu memperoleh keuntungan antara RM100 hingga RM120 sehari hasil daripada setiap pekerja seks.

“Kesemua pekerja seks warga Vietnam dan Thailand ini berada di dalam negara sebelum PKP lagi menggunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, suspek warga tempatan yang ditahan kini direman   antara tiga hingga enam hari manakala bagi suspek warga asing ditahan  mengikut Akta Imigresen selama 14 hari mulai 11 hingga 24 Julai.

Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah kesalahan mengikut Seksyen 373  Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sejak awal tahun hingga Sabtu lalu, polis Johor telah membuat 155 serbuan Op Noda di seluruh negeri ini dan menahan 691 individu ternasuk pekerja seks selain merampas wang tunai berjumlah RM72,069.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast