Datuk Norliza Abdul Rahim

GEORGE TOWN – Semua kerajaan negeri diminta untuk bertegas dan berani membuat pemetaan serta ukur tanah semula bagi memastikan penerokaan tanah haram dapat dibanteras secara habis-habisan.

Cadangan itu diutarakan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim susulan tindakan Kerajaan Negeri Pahang bertegas dalam soal operasi penguatkuasaan di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub baru-baru ini.

Kata Norliza, langkah di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu sesuatu yang perlu dicontohi.

“Sudah tiba masanya penguatkuasaan dan penyelarasan perlu dikemaskini, diperketatkan dan ditambahnilai dalam kerja-kerja pemetaan dan ukur tanah di bawah kerajaan negeri masing-masing.

“Dalam hal ini, saya percaya kerajaan negeri mempunyai ketegasan yang kukuh seperti mana yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pahang bahawa setiap pencerobohan tanah itu adalah melanggar undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, campur tangan mana-mana pemimpin politik yang kononnya dianggap pejuang rakyat dalam isu itu dianggap umpama beruk kena belacan.

“Secara jelas tindakan pihak tertentu menceroboh tanah kerajaan negeri sesuatu yang salah, mereka umpama sepuluh kali ukur, sekali kerat.

“Sehubungan itu, saya mengucapkan tahniah di atas ketegasan Kerajaan Pahang dalam soal menguatkuasakan undang-undang tanah dan teruskan usaha-usaha memangkinkan serta menyelaraskan sistem pentadbiran tanah yang lebih efisien dan efektif,” ujar Norliza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast