PORT-AU-PRINCE – Sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat membunuh Presiden Haiti memberitahu penyiasat mereka berada di kediaman Jovenel Moise untuk menangkap belia, bukan untuk membunuhnya, dedah Miami Herald.
Moise ditembak mati pada awal hari Rabu lalu di kediamannya di sini oleh unit pembunuh yang terdiri daripada 26 warga Colombia dan dua rakyat Amerika- Haiti, yang menyebabkan negara Caribbean yang bermasalah itu berada dalam kekacauan yang ketara.
Pembunuhan dan ketidakpastian mengenai siapa yang mencetuskan plot itu menyebabkan Haiti terpaksa meminta bantuan antarabangsa.
Setakat ini Amerika Syarikat (AS) menolak permintaan Haiti untuk mendapatkan bantuan tentera, walaupun seorang pegawai kanan negara itu memaklumkan Washington akan menghantar pasukan teknikal untuk menilai keadaan.
Memetik sumber, beberapa individu daripada 19 suspek yang ditahan setakat ini menyatakan misi mereka adalah untuk menangkap Moise dan membawanya ke istana presiden.
Manakala satu sumber yang mengetahui siasatan itu berkata, dua warga Amerika-Haiti, James Solages dan Joseph Vincent memberitahu penyiasat bahawa mereka adalah penterjemah bagi unit komando Colombia yang mempunyai waran tangkap.
Tetapi ketika mereka tiba di kediaman Moise, mereka dapati dia sudah mati.
Sebelum ini ada laporan yang menyatakan mereka telah bekerja sebagai anggota keselamatan di Haiti, termasuk untuk Moise sendiri.
The Miami Herald melaporkan warga Columbia yang ditahan itu memberitahu, mereka disewa untuk bekerja di Haiti oleh syarikat CTU Security yang berpangkalan di Miami, yang dikendalikan oleh seorang warga Venezuela yang melarikan diri atas alasan politik, Antonio Enmanuel Intriago Valera.
CTU dan Intriago tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. – MalaysiaGazette