Pemandangan kawasan Tok Bali.

KUALA LUMPUR – Projek-projek yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan Tok Bali perlu diberi keutamaan kerana berpotensi menjadi “game changer” dalam transformasi ekonomi di Kelantan.

Sehingga Jun 2021, Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memperuntukkan sejumlah RM297.7 juta untuk pembangunan di kawasan tersebut.

Ia membabitkan Taman Industri Tok Bali (TBIP) sebanyak RM200 juta; Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) ( RM67.7 juta) serta menaik taraf Jalan Tok Bali-Pasir Puteh (RM30 juta).

Manakala pelaburan komited daripada pihak swasta di Tok Bali sehingga Jun 2021 berjumlah RM1.75 bilion dan daripada jumlah ini RM329 juta telah direalisasikan.

Bagi memastikan projek-projek ini bakal memacu ekonomi dan aktiviti-aktiviti perdagangan rentas sempadan, Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali pada hari ini bersetuju supaya satu rumusan strategi dapat disediakan bagi mengenal pasti langkah-langkah pelaksanaan pembangunan kawasan Inland Port Pasir Puteh bersama Pelabuhan Komersial Tok Bali yang melibatkan agensi-agensi seperti Kementerian Kewangan (MOF), MOT, UPE, UPENK, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PLANMalaysia, Petronas dan sektor swasta.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kerajaan Negeri telah memulakan perancangan untuk membangunkan Inland Port Pasir Puteh dan akan diselaras dengan pembangunan sedia ada di kawasan sekitar agar dapat menawarkan perkhidmatan sokongan dan mewujudkan ekosistem yang kondusif kepada industri sedia ada.

Memandangkan kedudukan strategik Tok Bali serta infrastruktur yang bakal disediakan untuk menjamin kemampanan pembangunan di Tok Bali, mesyuarat telah memutuskan
supaya PLANMalaysia mempercepatkan pelaksanaan Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia-Thailand (KSAMT) dengan mengambil kira impak pembangunan Tok Bali
kepada pembangunan kawasan sempadan di negeri Kelantan.

Selain itu, pihak ECERDC sedang melaksanakan Pelan Transformasi Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali yang akan memperkukuhkan rantaian nilai perikanan dengan kemudahan infrastruktur yang menyokong aktiviti hiliran dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan bagi menghasilkan produk berasaskan ikan yang bernilai tinggi.

ECERDC berkata, mesyuarat telah menetapkan supaya garis masa pelaksanaan untuk Pelan Transformasi perlu dimuktamadkan serta memastikan semua isu berkaitan pelaburan
dan bekalan ikan ditangani segera. Ini bagi membolehkan objektif menjadikan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali sebagai pusat aktiviti perikanan huluan dan hiliran dapat
dicapai.

Sementara itu, Mustapa berkata, perancangan untuk membangunkan kawasan Tok Bali akan turut memberi penekanan kepada sektor minyak dan gas, pembuatan, logistik dan
perkhidmatan serta sektor tradisi seperti industri perikanan.

Semua sektor ini berupaya untuk mempelbagaikan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan serta memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan
membuka peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat.

”Kekangan pandemik COVID-19 tidak menjadi penghalang kepada kerja-kerja pembangunan yang berlangsung di Tok Bali. Kerajaan yakin projek-projek yang telah
dirancang bakal mengurangkan impak pandemik di Tok Bali yang masih dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik di negeri Kelantan.

”Kerajaan menyasarkan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Tok Bali menerusi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang sedang dan telah dilaksanakan. Projek
ini akan membawa manfaat dan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette