BALIK PULAU – “Alhamdulillah, ada orang mai nak baiki bumbung, lepas ni dalam rumah dah tak basah,”.
Demikian luahan Mat Noor Abu Bakar,77, sebaik menerima kunjungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang di rumahnya di Kampung Genting di sini hari ini.
Jelas Mat Nor, dia tidak menyangka bantuan membaiki bumbung rumahnya itu disegerakan ekoran dia hanya tinggal seorang diri.
“Alhamduillah, saya berterima kasih pada pihak yang tampil membantu membaiki bumbung ini.
“Lepas ni, boleh saya duk dengan lebih selesa kerana rumah tak akan basah lagi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN :
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang, Muhd Arshad Abdul Rahman berkata, pihaknya tampil selepas kisah Mat Nor yang dilaporkan MalaysiaGazette tular di media sosial.
Jelas beliau, pihaknya hadir bersama tukang rumah agar dapat membaiki terus bumbung rumah pusaka warga emas tersebut.
“Dalam keadaan negara dilanda pandemik ni kita tahu ramai individu memerlukan bantuan, namun keadaan rumah pak cik ini saya lihat bocor teruk hingga menyebabkan dia terpaksa duduk dalam keadaan lantai basah.
“Hari ini saya hadir bersama tukang rumah supaya dapat baiki terus bumbung rumah ini memandangkan cuaca sekarang kerap hujan.
“Kita tahu penduduk kampung dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat juga dalam perancangan membaiki bumbung rumah ini, tapi kita tampil untuk memastikan warga emas ini hidup dalam keadaan lebih selesa berbanding sekarang,” kata Muhd Arshad.
MalaysiaGazette semalam melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Barat Daya akan mempertimbangkan urusan memperbaiki bumbung rumah usang milik Mat Nor Abu Bakar di Jalan Kampung Genting, di sini.
Pegawai Warga Emas JKM Daerah Barat Daya, Mohd Ramli Mamma berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ketua komuniti dan beberapa pihak dalam masa terdekat bagi mencari kata sepakat dalam membantu Mat Nor. – MalaysiaGazette