Mat Nor ketika ditemui di rumah pusaka peninggalan ibu bapanya di Kampung Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – “Saya selesa duduk di sini cuma kalau boleh nak minta orang tolong tukar bumbung usang ni agar rumah tak masuk air setiap kali hujan,”.

Itu kata Mat Nor Abu Bakar,77, warga emas yang tinggal seorang diri di rumah pusaka peninggalan ibu dan bapanya di Kampung Genting, Balik Pulau di sini.

Mat Nor.

Menurut Mat Noor, dia tinggal di rumah berkenaan sejak tahun 1950 an dan kini meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan yang dihulurkan jiran serta kerajaan.

“Sekarang ini saya akan masak mi segera dan nasi setiap hari menggunakan kayu yang diambil di sekitar kawasan rumah ini memandangkan dapur gas sudah rosak.

Mat Nor menggunakan kayu dahan untuk memasak.

“Saya ni dah tak cergas macam dulu, jadi saya masak saja apa yang orang bagi janji perut ini kenyang dan adakalanya jiran di sini memberi makanan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas mengenai bantuan yang diterima, Mat Noor berkata, dia merupakan penerima bantuan daripada pihak zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun atas faktor usia dan kesihatan dia tidak mampu mengambil bantuan tersebut.

“Saya tak kahwin jadi bila dah tua ni duk sorang diri ja.  Sejak berusia ini bukan saja tak larat nak pergi bank, pendengaran pun kurang jelas jadi apa saja bantuan depa (zakat dan JKM) bagi tu saya tak pergi ambil.

Mi segera serta nasi antara makanan yang dimasak Mat Nor setiap hari.

“Memang ada pihak tampil minta saya dipindahkan ke tempat lain tetapi saya tak mahu, hidup saya selesa walaupun dalam keadaan sebegini.

“Selama ini ada orang datang nak membantu saya menolak sebab rasa ada lagi orang lebih susah daripada saya cuma sekarang ini saya minta tolong baiki bumbung serta bahagian rumah yang bocor kerana setiap kali hujan air masuk rumah,” ujar Mat Noor.

Dalam perkembangan sama, Mat Noor turut memberitahu kucing merupakan peneman dan penyelamat dirinya.

Mat Nor ketika ditemui di rumah pusaka peninggalan ibu bapanya di Kampung Genting, Balik Pulau.

“Dulu saya ada 30 ekor kucing tapi semakin hari kurang kerana sumber makanan saya tidak seberapa untuk mereka dan kini tinggal dua ekor.

“Dua ekor yang ada ni peneman saya dan ada kejadian ular masuk rumah depa (kucing) menyelamatkan saya daripada dipatuk,” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan