Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada ada bukti kukuh bahawa langkah mencampurkan vaksin Covid-19 berkesan untuk melawan virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) tidak mempunyai data mengenai perkara tersebut.

“Kita tidak ada data yang kukuh untuk laksanakan campuran vaksin contohnya Pfizer atau AstraZeneca.

“Ada laporan daripada beberapa negara tetapi kita kena ada data-data yang kukuh dan syarikat-syarikat itu membenarkan (campur vaksin),” katanya dalam sidang media khas bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.

Dalam pada itu, syarikat-syarikat pengeluar vaksin di dunia tidak menghantar data-data itu kepada NPRA untuk diselidik terlebih dahulu.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan mengambil pendekatan untuk memerhatikan kaedah itu sebelum ia dilaksanakan.

“Setakat ini tiada lagi keperluan berbuat demikian.

“Kita hanya laksanakan berdasarkan bukti kukuh, contohnya campuran vaksin Barat dan Timur iaitu AstraZeneca dan Sinovac.

“Tiada bukti langsung mengenai keberkesanannya. Adakah ia berjaya atau tidak. Jika tiada bukti kita tidak boleh syorkan campuran vaksin berkenaan.

“Ini adalah keadaan sebenar, kita perlu pastikan vaksin yang diterima itu selamat ada kesan sampingan atau tidak dan barulah kita boleh nasihatkan untuk membuat campuran vaksin,” katanya.

Pada Julai lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan kaedah heterolgi atau campuran dua vaksin sebagai sebahagian pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (​PICK), negara ini.

Katanya, kerajaan memang mengkaji untuk memberikan dua jenis vaksin, berikutan banyak negara sudah berbuat demikian kerana melihat kaedah itu adalah bagi meningkatkan antibodi peneutralan serta keberkesanan sesuatu vaksin. – MalaysiaGazette