KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO membenarkan ahli-ahli Parlimen mengikut budi bicara dalam undi percaya terhadap Perdana Menteri dapat mengelak berlaku perpecahan lebih ketara dalam parti tersebut.
Menyifatkan keputusan itu bukan satu kesilapan, pemerhati politik, Dr Azmi Hassan berkata, tindakan tersebut sebenarnya adalah satu strategi.
Jika tidak, pastinya berlaku kekacauan dalam organisasi parti itu apabila jika ada sebahagian ahli Parlimen berbelah-bahagi sama ada untuk setia kepada UMNO atau menyokong kerajaan.
“Meskipun ada yang memperlekehkan keputusan itu tetapi ia adalah strategi UMNO untuk mengelakkan berlaku kekacauan dalam parti.
”Rasa belah-bahagi itu pastinya akan dirasai dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang masih dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau nak pilih PN bermakna mengenepikan keputusan parti yang didukung oleh ahli Parlimen, pada masa sama, yang berkuasa pastinya mahu mengekalkan kedudukan yang ada.
“Jadi pendekatan yang diumumkan oleh UMNO tempoh hari adalah bersesuaian. Jika (seandainya) ada ahli Parlimen menongkah dengan bertindak memilih Muhyiddin, maka mereka dengan sendirinya menunjukkan ‘wajah sebenar’ kepada parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas Azmi, ahli Parlimen UMNO yang cenderung sama ada terang-terangan atau sembunyi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berada di persimpangan.
Ini kerana, setiap keputusan mereka ini akhirnya akan menentukan kedudukan mereka sebagai calon pada pilihan raya akan datang, yang mana pemilihan dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO.
Azmi berpandangan, keputusan UMNO itu sebenarnya telah mengucar-kacirkan PN, walaupun ada yang melihat sebaliknya apabila melihat dua Ahli Parlimen UMNO telah diangkat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kanan dalam kerajaan.
Ini kerana, perdana menteri sendiri tidak pasti sama ada ahli-ahli Parlimen UMNO benar-benar menyokongnya, terutama yang berada dalam kerajaan.
Namun, dengan penarikan semula sokongan kepada Muhyiddin, UMNO telah berjaya menimbulkan persepsi tentang kegagalan-kegagalan yang dibangkitkan oleh parti itu.
Kini terserah kepada kepimpinan kerajaan PN untuk bertindak dalam meredakan kemarahan rakyat berhubung isu-isu berkaitan pandemik Covid-19 yang dijadikan alasan oleh UMNO dalam menarik semula sokongan, ujarnya. – MalaysiaGazette
Sokong PN sehingga PRU15 diadakan, susah sangat ke nak faham, jangan lah gila talak sangat. Bersama dengan kerajaan yang ada pada hari ini untuk menangani masaalah covid19, kesian rakyat menjadi mangsa keadaan politik yang tidak stabil dan masaalah kesihatan yang melanda negara.