KUALA LUMPUR – Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kumutha Raman meninggal dunia akibat positif Covid-19.
Berita itu dimaklumkan Siti Zailah Mohd Yusoff menerusi laman Facebook milik beliau hari ini dengan memuat naik gambar mendiang beserta dengan ucapan takziah kepada ahli keluarganya.
Siti Zailah berkata, Kumutha yang juga Ketua Wanita Dewan Himpunan Pas Pusat (DHPP) dan juga Ketua DHPP Negeri Johor dimasukkan ke Hospital Putrajaya untuk dikuarantin pada 30 Jun lalu setelah disahkan positif Covid-19.
Beliau kemudian diberikan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Mendiang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tengah hari tadi,” kata Siti Zailah dalam status tersebut.
Ahli Parlimen Rantau Panjang itu menyifatkan Kumutha sebagai seorang kakitangan yang vibran, baik dan komited dalam memikul dan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan terhadapnya.
“Di saat-saat akhir sebelum pemergiannya, dia tetap menguruskan aduan-aduan masyarakat yang diterima,” keluh Siti Zailah lagi.
Turut merakamkan takziah adalah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.