Gelagat orang awam yang disyaki positif Covid-19 beratur panjang seawal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2021.

KLANG – “Kalau boleh pindahkan hari ini, kalau tidak boleh kena pindah dalam masa seminggu dua ini.”

Itu rayuan Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 7, Taman Sri Andalas, Saijan Sikon susulan Dewan Sukan Klang di kawasan mereka yang dijadikan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sejak Isnin lalu.

Katanya, kedudukan CAC yang bersebelahan dengan taman perumahan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Jelasnya, orang ramai yang positif Covid-19  berbaris panjang di kawasan itu sehingga di depan rumah menimbulkan rasa khuatir.

Kebimbangan itu, kata Saijan mengakibatkan penduduk Taman Sri Andalas itu tidak berani membuka pintu rumah masing-masing.

“Saya dan keluarga bimbang sebab ini sangat sensitif saya sendiri pun berisiko baru dapat satu dos suntikan vaksin Covid-19. Jadi kekhuatiran amat tinggilah. Semua pintu rumah penduduk di sini bertutup sebab bimbang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Saijan Sikon. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2021.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan, kawasan sekitar perumahan itu sesak dengan orang ramai berbaris untuk masuk ke Dewan Sukan Majlis Klang yang dijadikan CAC.

Jumlah orang yang hampir kesemuanya positif Covid-19 ke CAC itu terlalu ramai.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette sejak 10 pagi tadi mendapati, orang masih ramai beratur namun keadaan terkawal berbanding semalam.

Gelagat orang awam yang disyaki positif Covid-19 beratur panjang seawal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2021.

Mengulas lanjut, Saijan yang juga merupakan Pengerusi Surau An Naim Sri Andalas mendakwa, kewujudan CAC itu mengejutkan penduduk yang sama sekali tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenainya.

Beliau kecewa kerana tidak ada perbincangan awal yang melibatkan wakil penduduk di situ dilakukan oleh pihak berkenaan sebelum menjadikan dewan berkenaan sebagai CAC.

“Untuk tindakan ini buat CAC di sini tidak dimaklumkan, saya sebagai pengerusi surau langsung tidak dimaklumkan kita tahu melalui viral-viral keberadaan CAC di sini.

“Hari Isnin, sudah ada CAC tidak sempat buat apa-apa, tiba-tiba CAC ini wujud. Kita sangat kecewa sekurang-kurangnya kita dibawa berbincang atau macam mana. Kita boleh beri pendapatan kalau berbincang,” tambahnya.

Tidak mahu wujud pula Kluster Andalas akibat CAC yang ditempatkan di kawasan perumahan, maka Saijan berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya tidak mahu tengok nanti ada kluster di sini. Tidak mahu wujud kluster Andalas.

“Saya harap pihak berkuasa PKD dan mana-mana yang berkenaan tolong ambil tindakan secepat mungkin pindahkan, tidak mahu menimbulkan perasaan yang tidak puas hati dalam kalangan penduduk,” ujarnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk Taman Sri Andalas ketakutan CAC dalam kawasan kediaman