KUALA LUMPUR – Penduduk perumahan di Taman Sri Andalas, Klang melahirkan rasa bimbang dan kurang senang apabila Dewan Sukan Majlis Perbandaran Klang, dekat sini, dijadikan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ruzaina memberitahu MalaysiaGazette, perkara itu diketahui penduduk selepas melihat orang ramai beratur di depan rumah kira-kira jam 8 pagi tadi.

Jumlah mereka yang beratur semakin panjang sehingga petang ini.

Menurut beliau, operasi CAC di dewan milik MPK itu bermula hari ini.

“Tidak sepatutnya CAC diwujudkan di kawasan perumahan yang ramai penduduk.

“Ini menakutkan kami kerana individu yang dijangkiti Covid-19 berhampiran kami,” katanya.

Beliau berkata, sejak pagi tadi juga ambulans keluar dan masuk di kawasan berkenaan.

Lebih membimbangkan penduduk kerana sekitar kawasan tersebut ada banyak gerai dan kedai.

“Kami bimbang sangat ada pesakit Covid-19 yang menunggu giliran diperiksa memasuki kedai-kedai tersebut,” ujar beliau lagi.

Wanita itu menambah, apa logiknya Kementerian Kesihatan memilik dewan tersebut kerana Stadium Kota Raja dan Kompleks Sukan Pandamaran boleh dijadikan CAC.

“Sekurang-kurangnya lokasi ini jauh dari kawasan rumah,” tambahnya. – MalaysiaGazette