Pengerusi Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman bercakap ketika ditemuramah oleh wartawan berkenaan sektor penternakan dan perikanan tidak dibenarkan beroperasi di kawasan PKPD di Jeti Bagan Pasir,Tanjung Karang, Selangor . Foto HAFIZ SOHAIMI, 11 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Nelayan di negeri Selangor yang sebelum ini tidak dibenarkan untuk turun ke laut ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini boleh menarik nafas lega apabila aktiviti perikanan disenaraikan dalam perkhidmatan perlu bermula semalam.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) PKPD negeri Selangor yang telah dikemas kini, aktiviti perikanan, pertanian, penternakan, perladangan (kelapa sawit sahaja) serta rantaiannya dibenarkan untuk kembali beroperasi seperti biasa.

Pengerusi Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman berkata, nelayan di kawasan PKPD meluahkan rasa syukur apabila mereka kembali dibenarkan untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan setelah lebih seminggu tidak bekerja.

“Keprihatinan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)  amat kami hargai dengan membenarkan aktiviti perikanan kembali beroperasi ketika tempoh PKPD.

“Kelonggaran yang diberikan juga akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan tidak mengabaikan SOP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

SOP PKPD Negeri Selangor yang dikemas kini semalam.

Kelmarin MalaysiaGazette melaporkan keluhan nelayan apabila mereka tidak dibenarkan beroperasi ketika pelaksanaan PKPD di beberapa mukim di negeri Selangor sejak 3 Julai lalu.

Seorang nelayan, Amran Baba, 48, berkata, dia berhadapan dengan masalah untuk melakukan pergerakan rentas daerah kerana sampan miliknya di letakkan di kawasan Sungai Buloh yang dikenakan PKPD. – MalaysiaGazette