Datuk Osman Sapian

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian mendakwa beliau tidak mengetahui mengenai persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Johor yang dikatakan akan dilakukan pada 12 Ogos ini.

Katanya, beliau hanya mengetahui perkara tersebut melalui laporan media dan bukan daripada Pejabat Menteri Besar.

“Hanya mengetahui Sidang DUN hanya akan dilakukan 12 Ogos nanti melalui sidang akhbar, tetapi sehingga hari ini (semalam) saya bertanya pembantu saya adakah sudah menerima surat jemputan atau surat pemakluman awal dan juga surat untuk kita menghantar soalan bertulis, sehingga hari ini saya belum lagi menerimanya.

 

“Mungkin dalam masa terdekat atau ada perubahan tarikh itu sehingga hari ini saya belum dapat pastikan lagi,” katanya ketika di temui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri  (DUN) Kempas di sini.

Pada 7 Julai lalu, kerajaan Johor mengesahkan sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang DUN pada 12 Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, surat rasmi daripada baginda yang memperkenankan sidang DUN diadakan pada tarikh berkenaan sudah diterima kerajaan negeri.

Sementara itu, Osman berkata, Johor boleh mempunyai Menteri Besar Interim sekiranya UMNO negeri ini memutuskan untuk mengikut keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tambah beliau, atas restu Sultan Johor, negeri itu juga boleh mendapat baris Exco interim sehingga masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

Jelasnya, ketika ini bukannya masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

“Hari ini terlalu banyak faktor dan kita membentuk satu kerajaan baru terutama tentang pendemik Covid-19 yang agak menular dengan bilangan setiap hari meningkat dan tidak menurun setakat 500 ke bawah.

“Jadi saya rasa kalau diadakan pilihan raya ini juga akan menjadikan satu kluster pilihan raya dan keduanya kalau diadakan pilihan raya sambutan pengundi dan rakyat akan mendukacitakan kerana mereka ini bukan nak fikirkan pilihan raya tetapi fikirkan macam mana mereka nak hidup,”katanya. – Malaysiagazette