Tham membawa bendera putih sebagai tanda solidariti terhadap Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) menyerahkan memorandum mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan kepada pihak Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Rakyat hilang sabar, tertekan dan sengsara, itu antara luahan perasaan yang diucapkan oleh seorang lelaki hanya mahu dikenali sebagai Tham yang membawa bendera putih ke Istana Negara kira-kira jam 11 pagi tadi.

Lelaki berbangsa Tionghua yang pelat berbahasa Melayu itu tidak menghiraukan kehadiran pihak polis yang cuba mendekati dan menghalang dia daripada mendekati Istana Negara

Tham yang memakai baju T berwarna putih yang tertera tulisan #kerajaangagal berwarna merah melahirkan rasa kesal dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terus berpolitik ketika negara bergelut memerangi Covid-19.

“Kalau terus berpolitik, bukan saja kerajaan gagal, tapi negara akan jadi gagal, itu adalah kenyataan.

“Saya harap kerajaan batalkan darurat dan buka segera sidang Parlimen untuk bela rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Pintu 3, Istana Negara, pagi tadi.

Tham juga mendakwa walaupun Kemeterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberikan surat kebenaran berniaga, namun ramai peniaga disaman.

“Sepatutnya kerajaan tolong rakyat, bukan menyusahkan rakyat, hari-hari cakap kuasa-kuasa, tapi apa dia buat untuk rakyat.

“Sudah berapa ramai rakyat mati dalam enam bulan ini, gantung diri, bunuh diri, takkan kerajaan nak tunggu semua orang gantung diri?” katanya.

Dia turut mendakwa kegagalan kerajaan menangani Covid-19 menyebabkan banyak pelabur luar tarik pelaburan dari Malaysia.

“Kalau ini berlanjutan, matilah kita. Apa akan terjadi kepada anak-anak kita di rumah, tiada masa depan?” katanya.

Kesal dengan kegagalan itu, Tham tidak menolak kemungkinan untuk terus mengibarkan bendera putih di serata tempat bagi menyatakan solidariti kepada rakyat yang terjejas.

“Kita minta rakyat tulis di bendera putih ini apa dia mahu, rakyat mahu makan, rakyat mahu pergi jalan, rakyat mahu buka kedai, tulis apa yang terbuku dalam hati dan kita akan sampaikan mesej ini kepada Agong.

“Saya percaya ramai wartawan di sini pun ada banyak keluhan, tulis keluhan di bendera dan kibarkan untuk tunjuk kesusahan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette