GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas bertembung dengan sebuah bot nelayan di Sungai Muda, Penaga baru-baru ini kini diburu polis bagi membantu siasatan kes dadah.
Lelaki dikenali Muhammad Azim Zahari, 19, itu dikehendaki susulan dipercayai terlibat dalam kegiatan menyeludup syabu ke negara jiran.
Seorang lagi lelaki, Mohd. Azha Tajuddin, 32 , yang juga terlibat dalam kegiatan tersebut turut diburu polis.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat Mangsa yang dikhuatiri lemas itu dilakukan selama tiga hari dengan beberapa agensi berkaitan, namun mangsa gagal ditemui.
Mohd Shuhaily berkata, pihaknya percaya kemungkinan besar Muhammad Azim tidak lemas sebaliknya telah melarikan diri kerana jasadnya tidak ditemui sepanjang operasi berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian itu membabitkan bot nelayan dinaiki seorang tekong dan empat awak-awak yang baru pulang dari laut dan sebuah bot dinaiki suspek seramai tiga orang sebelum dua daripada mereka terjatuh ke dalam sungai.
“Seorang lelaki berjaya diselamatkan, manakala Muhammad Azim dikhuatiri lemas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan itu polis menerima maklumat berkaitan pengedaran dadah syabu dan menangkap lelaki berusia 38 tahun di Hospital Kepala Batas serta merampas 60 kilogram syabu bernilai RM2.16 juta.
“Seterusnya pada Sabtu lalu, seorang lagi suspek berusia 42 tahun ditahan di Kepala Batas, Seberang Perai. Sindiket itu yang aktif sejak awal tahun ini dipercayai dalam perjalanan membawa bekalan dadah untuk dihantar ke negara jiran menggunakan jalan laut.
“Sehubungan itu, kita mohon bantuan orang ramai yang melihat atau mengenali dua lelaki itu menghubungi balai berhampiran bagi menyalurkan maklumat,” ujar beliau.
MalaysiaGazette pada 7 Julai lalu melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan anjing pengesan (K9) dalam operasi mencari dan menyelamat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh di Sungai Bakau Tua, Kuala Muda di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda, Mohammad Yazi Taib berkata, unit K9 BBP Klang itu dibawa untuk menyertai operasi mengesan Muhammad Azim Zahari, yang berusia 19 tahun yang dilaporkan terjatuh.
Jelas beliau, usaha mencari mangsa yang memasuki hari kedua itu masih diteruskan dengan melibatkan anggota bomba dari BBP Kuala Muda, Butterworth, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta K9. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: