PENAGA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan anjing pengesan (K9) dalam operasi mencari dan menyelamat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh di Sungai Bakau Tua, Kuala Muda di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda, Mohammad Yazi Taib berkata, unit K9 BBP Klang itu dibawa untuk menyertai operasi mengesan Muhammad Azim Zahari, yang berusia 19 tahun yang dilaporkan terjatuh semalam.

Jelas beliau, usaha mencari mangsa yang memasuki hari kedua itu masih diteruskan dengan melibatkan anggota bomba dari BBP Kuala Muda, Butterworth, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta K9.
“Operasi ini turut dibantu pihak Polis Marin dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kaedah pencarian di permukaan air di kiri dan kanan tebing sungai turut dilakukan menggunakan dua bot.
“Skop pencarian diperluaskan dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot akibat bertembung dengan sebuah bot lain di Sungai Bakau Tua, Kuala Muda di sini.

Operasi pencarian di lakukan bermula jam 8 pagi tadi.
Kejadian yang dilaporkan berlaku jam 12.30 tengah malam itu menyebabkan Muhammad Azim Zahari,19, terjatuh dan gagal ditemui sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati pelanggaran berlaku susulan bot kedua itu tidak mempunyai lampu, selain datang dari arah bertentangan. – MalaysiaGazette
















