Suhaizan Kaiat

JOHOR BAHRU – Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor akan menerima notis pemakluman pembukaan semula Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu hadapan.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, persiapan sedang dibuat dengan terperinci sebelum pembukaan semula DUN Johor yang dijadualkan pada 12 Ogos depan.

“InsyaAllah edaran notis awal itu akan diedarkan seperti mana saya katakan dan kini persiapan akhir pengedaran notis kepada kesemua wakil rakyat negeri ini,” katanya.

DUN Johor mempunyai tempoh 21 hari untuk menyerahkan semua notis berkenaan sebelum persidangan bermula.

Tambah beliau, notis pembukaan semula itu akan dihantar kepada semua wakil rakyat termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir, mulai minggu depan.

“Semua persediaan juga sedang dilakukan termasuklah Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mana yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad dalam kenyataannya bersama media mengesahkan telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang DUN pada 12 Ogos depan.

Selain itu menurutnya, surat rasmi daripada YDPA memperkenankan sidang DUN diadakan pada tarikh berkenaan sudah diterima kerajaan negeri.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mendakwa tidak menerima sebarang notis pembukaan semula sidang DUN seperti mana yang dinyatakan Hasni sebelum ini.

Baru-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga dilaporkan sudah dimaklumkan mengenai perkenan YDPA itu.

Baginda juga dilaporkan berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast