Tosrin Jarvanthi.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor tidak teragak-agak  menarik semula permit operasi pusat sembelihan yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pihaknya mendapati ada ada pusat sembelihan tidak mematuhi SOP yang membabitkan kolam takungan darah, air kumbahan dan kebersihan.

“Walaupun disifatkan sebagai pusat sementara, pemilik tidak seharusnya memandang remeh SOP korban sewaktu pandemik Covid-19 ini.

“Kerajaan negeri tidak teragak-agak menarik semula atau membatalkan lesen dan permit sembelihan yang sudah diluluskan,” katanya dalam kenyataan media selepas mengadakan lawatan kerja bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di 15 pusat penyembelihan.

Sementara itu, beliau memberitahu, hanya 164 pusat sembelihan berdaftar dengan JPV dibenarkan melaksanakan ibadah korban Aidiladha di Johor pada tahun ini.

Jelasnya, pelaksanaan itu merangkumi proses penyembelihan, melapah dan membungkus daging korban.

Dalam kenyataan berasingan, Tosrin berkata, pihaknya akan menyegerakan proses pemberian vaksin Covid-19 kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri itu yang merangkumi imam, bilal dan noja.

Katanya, perkara itu dipersetujui menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam, manakala Pejabat Kadi Daerah diminta menghantar senarai nama pengurusan masjid dan surau ke Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing. – MalaysiaGazette