KUALA LUMPUR – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan kerajaan menghentikan proses pemberian vaksin Sinovac kerana disebabkan kadar keberkesanannya.
Malah menurut beliau, pemberikan vaksin itu sudah mencapai kadar 12 juta dos seperti yang telah direncanakan kerajaan.
“Berkenaan berita kononnya Sinovac akan digantikan dengan bekalan Pfizer, saya ingin jelaskan bahawa tiada isu yang berbangkit kerana bekalan Sinovac yang dikatakan digantikan adalah disebabkan kita sudah habis bekalan bagi vaksin itu.
“Tempahan kita sudah selesai di hantar oleh Pharmaniaga. Untuk makluman semua tempahan sebanyak 12 juta dos yang dibuat oleh kerajaan pada Pharmaniaga akan habis dibekalkan pasa hujung bulan ini,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Malah kata Khairy, kerajaan akan menambah sejumlah 3 juta dos lagi vaksin Sinovac untuk dijadikan stok simpanan.
Ia akan digunakan kepada mereka yang mengalami alahan terhadap vaksin lain.
“Tempahan ini akan selesai dihantar Pharmaniaga akhir bulan Julai atau awal Ogos,” ujar Khairy.
Selepas itu, katanya, PICK akan menggunapakai vaksin keluaran Pfizer-BioNTech buat masa ini.
Vaksin Sinovac akan dipasarkan ke pasaran swasta disebabkan rancangan bekalan yang dipersetujui sebelum ini dengan penghantar sehingga November.
“Setelah kita runding semula dengan Sinovac dan Pharmaniaga untuk kita percepatkan vaksinasi yang menjadi antara terpantas di dunia sekarang maka semua telah selesai dihantar pada akhir bulan ini,” katanya.
Oleh itu, Pfizer akan menjadi bekalan tunggal kepada kerajaan mulai Ogos ini. – MalaysiaGazette