Prof Madya Ts Dr Zuraida Abal Abas.

KUALA LUMPUR –  Jika sudah berjiwa pendidik maka tidak menjadi halangan kepada seorang pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi ilmu bersama kanak-kanak di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh Melaka, baru-baru ini.

Itu komitmen dan jasa Prof Madya Ts Dr Zuraida Abal Abas yang kebetulan salah seorang yang telah dikesan positif dan ditempatkan di PKRC yang sama untuk menerima rawatan dari 8 hingga 12 Julai lalu.

Walaupun berada dalam tempoh rawatan di situ namun beliau menggunakan ruang dan peluang yang ada berkongsi ilmu bersama dengan pesakit dalam kalangan kanak-kanak yang turut dikuarantin.

Jelasnya, usaha itu sebahagian daripada inisiatif beliau untuk memastikan kumpulan kanak-kanak tersebut tidak ketinggalan pelajaran yang mana mereka sepatutnya mengikuti Pembelajaran di Rumah (PdPR), katanya dalam satu kenyataan UTeM baru-baru ini.

Zuraida mengadakan kelas tutorial kepada lebih 12 orang kanak-kanak yang berumur antara 5 hingga 11 tahun di situ dengan mewujudkan pilihan kelas sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam sepanjang tempoh dikuarantin.

“Saya gembira dapat menggunakan peluang yang singkat ini untuk berkongsi ilmu dengan mereka dengan mengajar mereka subjek matematik di samping membimbing mereka melukis dan mewarna.

“Keriangan yang terpancar di wajah mereka sewaktu mengikuti kelas tutorial bersama saya telah menjadi sebahagian daripada kegembiraan dan catatan pengalaman indah buat diri saya juga,” ujarnya yang merupakan pensyarah dari Jabatan Pengkomputeran Pintar & Analitik, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM.

Berkongsi pengalamannya, beliau menambah, anak-anak kecil di situ begitu bersemangat dan suka belajar walaupun mereka pesakit Covid-19 dan bertambah menyayat hati ada dalam kalangan mereka merupakan anak yatim.

“Saya tidak mampu mengubah dunia namun saya cuba berikan yang terbaik kepada mereka selagi berpeluang dan saya yakin bahawa keberadaan kita di mana sahaja pastinya mempunyai hikmah tersendiri,” ujarnya.

Zuraida juga turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas-petugas di PKRC MITC yang memberikan sokongan dan membantu menyediakan alatan menulis lengkap memudahkan proses kelas tutorial berjalan dengan lancar.

Penghargaan juga turut disampaikan kepada pihak pengurusan dan rakan-rakan FTMK dan UTeM di samping jiran dan keluarga yang banyak membantu menghulurkan bantuan sepanjang beliau menjalani tempoh kuarantin sebelum ini.- MalaysiaGazette