Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang asnaf di Bukit Kayu Hitam, Kedah hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk membantu golongan sasar menerusi program PTPTN Prihatin.

Dianggarkan sebanyak 3,750 keluarga asnaf yang terjejas ekoran penularan Covid-19 akan dapat dibantu melalui peruntukan ini yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (DANA KITA).

Setiap keluarga akan menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan harian.

“Agihan dimulakan hari ini di negeri Kedah dan Skuad PTPTN Prihatin akan bergerak ke negeri-negeri lain selepas ini. Pada hari ini, PTPTN dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Bukit Kayu Hitam membuat agihan sumbangan kepada para penerima di kawasan berdekatan.

Seterusnya, Skuad PTPTN Prihatin akan mula bergerak untuk mengagihkan sumbangan bakul makanan tersebut kepada penerimapenerima di negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua pengagihan sumbangan itu akan dibuat selaras dengan SOP yang ditetapkan oleh MKN.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pelaksanaan PKP di seluruh negara ini telah menyebabkan ramai yang menghadapi kesusahan dan juga memberi kesan kehidupan kepada masyarakat terutamanya kepada golongan asnaf.

Sebagai sebuah organisasi yang cakna dan prihatin, PTPTN melalui Skuad PTPTN Prihatin turut terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada golongan asnaf yang terjejas, katanya.

“Oleh itu, saya berharap sumbangan sedikit sebanyak ini dapat membantu meringankan beban terutamanya kepada keluarga asnaf yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 selain meletakkan PTPTN di tengah-tengah keperluan masyarakat dan dapat menjalinkan hubungan positif di antara PTPTN dengan pemimpin serta masyarakat setempat.

Sumbangan ini adalah menggunakan wakalah zakat yang memang merupakan hak mereka yang layak. Saya harap ia akan membantu meringankan beban yang ditanggung,” tambah Wan Saiful lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast