KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membantu rakyat bagi memastikan kehidupan mereka yang terbeban dengan pandemik Covid-19 dapat dikurangkan.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nazir Helmi berkata, soal cukup atau tidak bantuan yang diperuntuk sejak Covid-19 melanda negara dua tahun lalu, perlu dilihat semula dalam pelbagai sudut.
Bagaimanapun, katanya, dalam menyedia dan menyalurkan bantuan yang mencecah ratusan bilion ringgit itu, kerajaan perlu meletakkan garis panduan supaya sampai kepada golongan sasar sepanjang tempoh penularan wabak itu.
“Kita sedar, untuk kerajaan hendak menanggung sepenuhnya keperluan rakyat agak mustahil, tetapi sekurang-kurangnya dengan pakej bantuan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dapat meringankan beban mereka.
“Tidak cukup dengan itu, bantuan berkenaan juga sebolehnya dapat mengelakkan rakyat daripada jatuh muflis,” katanya dalam Skop MG bertajuk, “Sudah Cukupkah Kerajaan Bantu Rakyat? yang disiarkan secara langsung malam ini.
Nazir juga menyarankan kerajaan, selain bantuan itu, penguatkuasaan mengawal harga barang harus ditumpukan supaya rakyat tidak terbeban mendapatkan barang keperluan dalam keadaan mereka mengalami kegawatan sumber kewangan.
Katanya, rakyat menderita dan hidup dalam kesusahan kerana tidak boleh keluar dari rumah untuk mendapatkan pekerjaan atau dengan kata lain mencari rezeki, selain menerima bantuan dari kerajaan.
“Kerajaan telah berbelanja lebih RM400 bilion dari awal PKP sehingga hari ini, namun jumlah itu dilihat tidak pernah mencukupi sehingga mereka terpaksa mengibarkan bendera putih.
“Di sinilah tercetusnya fenomena bendera putih. Puncanya kerana rakyat tidak boleh keluar rumah mencari rezeki,” katanya lagi.
Kata Nazir, Pas tidak pernah melihat mengibarkan bendera putih ini satu kesalahan, tetapi mempunyai sedikit kerisauan dalam bentuk naratif politik.
Ia, katanya, disailang oleh orang-orang politik tertentu yang cuba melencongkannya dengan kaedah berpolitiking. – MalaysiaGazette