SHAH ALAM – Hanya tangisan dan bacaan Al-Fatihah mengiringi pemergian insan tersayang.
Itu suasana pilu di hadapan pintu masuk Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini hari ini yang dipenuhi dengan kira-kira 30 waris jenazah pesakit Covid-19.
Bagaimanapun waris mangsa datang berperingkat dan tidak dibenarkan berkumpul beramai-ramai.
Tinjauan mendapati rata-rata waris mula berkumpul di kawasan tanah perkuburan itu sejak pukul 4 petang bagi memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga mereka.
Bagaimanapun penghantaran pertama yang membawa jenazah pesakit Covid-19 hanya tiba di tanah perkuburan pada pukul 7.40 malam manakala yang kedua tiba sekitar pukul 9.21 malam dengan diiringi anggota polis trafik.
Difahamkan kesemua 12 jenazah pesakit Covid-19 itu dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dikebumikan di sini malam ini.
Sementara itu, seorang penggali kubur berkata, seramai 14 jenazah pesakit Covid-19 terlebih dahulu telah selamat dikebumikan sejak pagi tadi sehingga pukul 5 petang.
“Hari ini paling ramai, sejak pagi tadi sudah 14 jenazah siap dikebumikan dan malam ini kita jangka lagi 12 jenazah akan dibawa ke sini.
“Untuk pesakit Covid-19, hari ini kami terima paling ramai, kalau tidak sebelum ini paling ramai pun dalam lapan atau 11 jenazah sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Namun tidak dapat disahkan sama ada kesemua 14 jenazah yang dikebumikan sebelum itu dibawa dari HTAR atau hospital lain di Lembah Klang dan Selangor.
Terdahulu persiapan dan kerja-kerja menggali lubang kubur dijalankan oleh kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan dibantu Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Dalam pada itu, seorang waris jenazah pesakit Covid-19, Irwan Tukiman terkilan kerana tidak dapat menatap wajah arwah bapanya buat kali terakhir.
Irwan yang bertugas sebagai juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia berkata, bapanya yang berusia 75 tahun disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu pukul 7.52 pagi.
“Saya hanya sempat menatap wajah arwah pada Isnin ketika membuat panggilan video namun keadaannya masih tidak membimbangkan.
“Namun pada Rabu, ketika jururawat ingin menjalankan pemeriksaan rutin pada waktu pagi mendapati arwah sudah pun meninggal dunia.
“Memang terkilan sangat kerana tak dapat beri penghormatan terakhir buat arwah, tak dapat nak melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak, itu yang paling saya sedih,” katanya.
Tambah Irwan, arwah bapanya itu menetap di Telok Panglima Garang dan dijaga oleh adik-beradiknya yang lain.
Katanya lagi, arwah disahkan dijangkiti virus Covid-19 selepas membuat ujian saringan pada 2 Julai sebelum dimasukkan ke HTAR pada 4 Julai.
Berkongsi lanjut, Irwan berkata, selain bapa, seramai 11 lagi ahli keluarganya yang menetap di dalam rumah yang sama turut dijangkiti Covid-19.
“Kesemua yang tinggal di rumah itu terkena jangkitan Covid-19, dari adik-beradik sampai lah cucu arwah. Ketika arwah berada di HTAR, mereka yang lain dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS),” ujarnya. – MalaysiaGazette