Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bertanyakan sesuatu dengan pegawai kilang semasa melakukan serbuan kilang pembuatan logam pada Op Patuh di Bandar Parklands, Bukit Tinggi, Klang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.

KLANG – Keputusan untuk tidak melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi 34 mukim di Selangor dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan membuat keputusan menamatkan PKPD di satu-satu kawasan tanpa nasihat daripada KKM.

“PKPD tidak dilanjutkan sebab semua saringan dibuat. Saringan di bawah Kementerian Kesihatan. Apabila kita dinasihatkan semalam untuk buka, jadi kita buka atas nasihat KKM,” katanya ketika ditanya ada pihak tertentu mempertikaikan keputusan kerajaan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap selepas melakukan serbuan kilang pembuatan logam pada Op Patuh di Bandar Parklands, Bukit Tinggi, Klang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2021.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Op Patuh di sebuah kilang pembuatan logam di Klang hari ini.

Turut hadir bersamanya ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah.

Jelas Ismail Sabri, keputusan itu dibuat selepas KKM selesai membuat saringan.

Menurutnya, lazimnya saringan bersasar secara besar-besaran akan dilakukan di dalam kawasan yang dilaksanakan PKPD.

“Seperti saya terangkan bahawa dalam kawasan PKPD kita lakukan saringan bersasar secara besar-besaran.

“Kelmarin 54,000 saringan dibuat sebab itu lebih 6,000 kes direkod (di Selangor). Lebih kurang 12 hingga 13 peratus positif. Dan saya difahamkan aoabila kita buka, saringan itu mungkin dah ditamatkan atau dikurangkan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ismail mengumumkan PKPD bagi 34 mukim di Selangor yang bermula 3 Julai  tamat semalam.

Ujarnya, keputusan itu dibuat selepas KKM membentangkan situasi semasa kepada MKN.

Ia membabitkan mukim yang merangkumi daerah Petaling (Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja), Hulu Langat (Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang) dan Sepang (Dengkil, Labu, Sepang).

Turut terbabit adalah mukim di daerah Gombak (Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang), Kuala Langat (Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra, Batu).

Selain itu, mukim di daerah Klang yang terbabit ialah Kapar dan Klang serta Kuala Selangor (Ijok, Bestari Jaya, Jeram), Hulu Selangor (Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali).-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PKPD 34 mukim di Selangor tidak akan dilanjutkan – TPM