LONDON – Jaguh tenis nombor satu Britain, Dan Evans menarik diri daripada menyertai Olimpik yang akan membuka tirai secara rasmi 23 Julai ini di Tokyo.
Evans terpaksa menghadapi situasi sukar selepas disahkan positif Covid-19 selepas namanya tersenarai dalam kontinjen Great Britains.
Pemain berusia 31 tahun itu menyatakan kekecewaannya berikutan keputusan itu dan menjalani kuarantin kendiri mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan United Kingdom.
Pada Selasa lalu, jaguh wanita senegara Johanna Konta juga menarik diri dari temasya kali ini atas sebab yang sama.
Evans yang menduduki rangking ke-28 dunia berkata dia tidak dapat membuat persiapan rapi untuk temasya kali ini sehingga terjejas dengan ujian positif Covid-19.
Dalam ciapan Instagram peribadinya, Evans berkata: “Saya mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan GB dalam sukan Olimpik.
“Saya yakin kembali ke gelanggang selepas segalanya pulih seperti sedia kala,” katanya dengan nada sedih.
Justeru, rakan senegaranya Jamie Murray akan menggantikan tempat Evans dalam temasya di Tokyo kali ini.
Pemenang beregu Grand Slam sebanyak tujuh kali itu akan menggantikan Evans untuk berganding dengan Neal Skupski dalam aksi bergu tenis di Olimpik kali ini.
“Saya bersyukur Murray akan akan menyertai kontinjen kami di Tokyo. Pemain berpengalaman seperti Murray akan menambah semangat dan kekuatan pasukan GB di Tokyo untuk menambah koleksi pingat,” kata ketua Kontinjen GB Bates.-MalaysiaGazette