KUALA LUMPUR – Polis menahan 28 orang yang menghadiri majlis sambutan hari jadi di sebuah apartmen, Swiss Garden Residensi, di ibu negara hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, daripada 28 yang ditahan, 12 daripadanya adalah perempuan termasuk dua warga Indonesia dan seorang Orang Asli yang berusia lingkungan 21 hingga 63 tahun.
“Kita telah menyerbu sebuah unit kediaman di tingkat 36 apartmen mewah itu sekitar 12.50 pagi hari ini dan kita juga merampas sejumlah kecil kondom dan juga beberapa paket disyaki dadah jenis ketamin daripada mereka yang berkumpul dan berparti liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua mereka yang merupakan pekerja swasta dan berniaga dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan hasilnya tujuh lelaki dan empat perempuan didapati positif ketamin.
Tambah beliau, polis telah mengeluarkan notis kompaun ke atas pemilik premis apartmen berkenaan serta penganjur yang menyewa unit berkenaan menganjurkan sambutan hari jadi.
“Hasil siasatan polis mendapati unit apartmen berkenaan telah disewa dengan kadar RM300 satu malam untuk majlis parti liar hari jadi rakan mereka.
“Penganjur menjemput setiap individu kenalannya menerusi pesanan mesej menerusi WhatsApp untuk berkumpul bagi menyambut hari jadi,” ujarnya. – MalaysiaGazette