Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad menyerahkan replika cek kepada Muhammad Aminnur Rashid bin Mokhtar yang menerima bantuan "one off" sebanyak RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan 3.0 di Kampung Jeram, Bakri Muar semalam.

MUAR –  Pengusaha van dan bas sekolah yang terjejas akibat  pandemik Covid-19 terus mendapat perhatian kerajaan negeri Johor apabila menerima bantuan one off sebanyak RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Seramai 1,882 pengusaha perkhidmatan pengangkutan  berkenaan di negeri ini akan menerima bantuan tersebut.

Seorang pengusaha bas sekolah, Muhammad Aminnur Rashid Mokhtar mengakui bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya yang terjejas teruk akibat pandemik  tersebut.

Menurutnya, sejak sekolah ditutup akibat pandemik berkenaan, beliau hanya dapat membawa pekerja kilang di kawasan sekitar  sebagai sumber pendapatan.

“Pendapatan memang jauh berkurangan berbanding sebelum  pandemik. Pada masa ini saya bawa pekerja kilang dan berharap  tidak lama lagi keadaan boleh pulih untuk kami meneruskan  kehidupan seperti sedia kala.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas sumbangan  yang diberikan kepada pemandu-pemandu bas sekolah,”  katanya selepas menerima bantuan berkenaan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Hasni  Mohammad, di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam  Johor (PAJ), Ramli Abdul Rahman.

Sementara itu, bagi pengusaha van sekolah, Pupathia a/l Ramadas, sejak penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19, beliau hilang pendapatan.

Beliau mengakui turut menerima bantuan serupa menerusi Bantuan Ihsan Johor pada awal pandemik.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas bantuan ini. Sekurang meringankan beban kami sekeluarga,”  katanya. – MalaysiaGazette