Tan Chen Choon mengagihkan hand sanitizer kepada para peniaga dan para penjaja di pasar awam, kedai makanan dan minuman dan gerai-gerai penjaja bergerak di Jementah dan Segamat.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan digesa membenarkan warga emas di Johor yang belum menerima vaksin mendapatkan suntikan secara walk-in, tanpa memerlukan janji temu di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Tan Chen Choon berkata, kerajaan perlu mengambil inisiatif iaitu ‘Vaksin dulu, daftar kemudian’ di seluruh negara berikutan peningkatan bekalan pelalian yang tiba di Malaysia mulai bulan ini.

“Saya amat mengalu-alukan langkah pemberian vaksin secara walk-in di mana-mana PPV kepada warga emas (yang belum menerima janji temu vaksinasi) di Kuala Lumpur dan Selangor mulai semalam (17 Julai 2021).

“Saya berharap agar langkah tersebut juga bakal dilaksanakan di Johor dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 428,700 warga emas mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 sehingga 11 Julai lalu.

“Akan tetapi, kumulatif penerima warga emas masih rendah iaitu 289,530 orang atau 67.5 peratus saja.

“Lebih-lebih lagi, jumlah vaksin diberi kepada warga emas di Daerah Kulai dan Daerah Johor Bahru adalah paling rendah berbanding dengan daerah lain di Johor dengan 66% dan 46.6% masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, walaupun pemberian vaksin fasa kedua mereka yang berumur 60 dan ke atas serta golongan berisiko tinggi telah dilaksanakan hampir tiga bulan, tetapi masih ramai warga emas belum menerima janji temu sedangkan mereka telah lama mendaftar.

“Sehingga hari ini, masih ramai warga emas meminta bantuan daripada saya untuk mendapatkan janji temu vaksinasi.

“Ada yang mengadu bahawa terdapat penerima yang lebih muda telah lengkap kedua-dua dos vaksin tetapi mereka (warga emas) masih tertunggu-tunggu janji temu vaksinasi.

“Justeru, saya menyeru agar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan mengikut kategori umur penerima, berilah laluan khas kepada warga emas yang belum menerima vaksin untuk mendapatkan suntikan di mana-mana PPV secara walk-in,” jelasnya.

Terdahulu, beliau mengagihkan hand sanitizer kepada para peniaga dan penjaja di pasar awam, restoran dan gerai penjaja bergerak di Jementah dan Segamat semalam. – MalaysiaGazette